Penjaga gol Liverpool Alisson Becker disahkan tidak akan beraksi di perlawanan timbal balik pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Atletico Madrid akibat kecederaan pinggul.
Penjaga gol antarabangsa Brazil itu turut tidak akan beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth pada hujung minggu ini, selain turut terlepas aksi menentang Everton pada 16 Mac akan datang.
Liverpool akan menanti kunjungan Atletico di Anfield pada Rabu akan datang, setelah ketinggalan 1-0 secara agregat selepas perlawanan pusingan pertama lalu.
“Beliau [Alisson] tidak akan beraksi untuk esok, dan juga untuk minggu akan datang,” kata Jurgen Klopp mengenai penjaga gol berusia 27 tahun itu.
“Kita harus menilai setiap situasi. Saya yakin beliau akan cergas 100% selepas tamat kalendar antarabangsa akan datang. Apa sahaja perkembangan sebelum itu, kita akan lihat kemudian.”
Alisson turut tidak disenaraikan di dalam skuad Brazil untuk kempen kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia dan Peru pada 28 Mac dan 1 April akan datang.
Penjaga gol yang telah tampil dalam 28 perlawanan untuk Liverpool pada musim ini mengalami kecederaan tersebut ketika latihan sebelum perlawanan pusingan kelima Piala FA menentang Chelsea.
Alisson adalah penjaga gol termahal dunia ketika menyertai Liverpool dari Roma pada 2018 dengan nilai £66.8 juta.
Pada musim ini Alisson turut pernah disisihkan selama sembilan minggu akibat kecederaan betis yang dialami pada perlawanan menentang Norwich pada hari pertama kempen liga pada Ogos.
“Beliau [Aliison] mengalami insiden kecil ketika latihan sebelum perlawanan menentang Chelsea tempoh hari,” kata Klopp.
“Pada mulanya kami fikir ia tiada apa-apa, kemudian ia semakin jelas beliau tidak boleh bermain. Rancangannya ialah supaya beliau berada di bangku pemain simpanan.
“Selepas melakukan imbasan pada hari seterusnya, kami menemui perkara lain. Maka sekarang Alisson terpaksa disisihkan.”