Seminggu selepas menewaskan pasukan di tangga teratas liga, skuad Jurgen Klopp tewas pula di tangan pasukan tercorot liga.
Liverpool mengakhiri rekod tanpa kalah Manchester City, dan kali ini Swansea City pula menamatkan rekod tanpa kalah Liverpool.
Ini juga merupakan perlawanan debut untuk Virgil Van Dijk dalam perlawanan liga bersama-sama dengan The Reds.
Swansea bermain bertahan sepanjang 90 minit perlawanan dan mendapat gol pendahuluan menerusi sepakan penjuru yang disempurnakan Mawson.
Disiplin pertahanan adalah kunci kepada kejayaan mereka mempertahankan gol pendahuluan sehingga akhir perlawanan.
Liverpool melancarkan banyak serangan pada separuh masa kedua, menguasai lebih 72% perlawanan namun masih gagal mendapat gol penyamaan.
Mohamed Salah, Sadio Mane dan Emre Can kesemua terlepas peluang menjaringkan gol menerusi voli.
Kemasukan Adam Lallana dan Danny Ings memberikan impak lebih baik kepada tempo permainan Liverpool. Namun Fabianski dan unit pertahanan Swansea terus kental bertahan.
Mereka hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan namun tandukan Firmino terkena tiang dan tindakan susulan Lallana yang gagal.
Kekalahan ini sekaligus mempersia-siakan peluang Liverpool untuk menyamakan mata dengan pasukan Chelsea di tangga ke-3.
Swansea pula telah menewaskan Liverpool sebanyak 3 kali dalam 5 perlawanan terakhir kedua-dua pasukan. Swansea masih di tangga tercorot, 3 mata daripada zon selamat.