Tidak mengenal erti putus asa, Liverpool tetap terus memberikan tekanan kepada Manchester City apabila kembali menerajui takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah menewaskan Huddersfield 5-0 di Anfield pada awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut memberikan kelebihan dua mata kepada Liverpool, untuk mengatasi juara bertahan, City yang berada di kedudukan kedua – namun memiliki kelebihan satu perlawanan.
Tidak buang masa
Huddersfield yang sah tersingkir ke Championship pada musim hadapan sebelum perlawanan ini ketinggalan seawal minit pertama perlawanan apabila Naby Keita hanya memerlukan 15 saat untuk meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.
Setelah berjaya memenangi bola di kawasan permainan Huddersfield, Liverpool tidak membuang masa menghukum pasukan pelawat apabila Keita menyempurnakan hantaran Mohamed Salah dari jarak dekat.
Jaringan tersebut adalah rekod baharu untuk Liverpool kerana ia adalah jaringan terpantas di saingan EPL oleh The Reds.
Ia juga merupakan jaringan ke-100 Liverpool dalam semua pertandingan pada musim ini.
Liverpool terus mendominasi perlawanan dan melebarkan kelebihan melalui tandukan Sadio Mane yang menyambar hantaran lintang Andrew Robertson pada minit ke-23 perlawanan.
Kemudian, ianya giliran Mohamed Salah untuk mencetak nama sebagai penjaring dengan bola lob yang melepasi jangkauan penjaga gol, Jonas Lossl untuk gol ketiga Liverpool, sejurus sebelum babak pertama berakhir.
Kisah di babak kedua juga tidak banyak perbezaan. Skuad kendalian Jurgen Klopp jelas pasukan yang berada di dalam kelas tersendiri dalam perlawanan ini.
Penjaring terbanyak
Salah dan Keita terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan, sebelum Mane menyempurnakan hantaran Jordan Handerson – juga bermakna Mane menyamai jumlah 20 jaringan oleh Salah untuk turut mendahului carta penjaring EPL pada musim ini.
Namun Salah menambah satu lagi jaringan selepas itu apabila beliau berjaya menyempurnakan satu lagi hantaran cantik Robertson untuk melengkapkan kemenangan sempurna 5-0.
Liverpool kini turut memecah jumlah mata terkumpul yang diperolehi Arsenal pada ‘musim invincibles’ 2003/04.
City boleh kembali memintas Liverpool sekiranya memenangi perlawanan menentang Burnley pada Ahad nanti.
Kemudian, tinggal baki dua lagi perlawanan untuk menentukan juara mutlak Liga Perdana Inggeris pada musim ini.