Liverpool Bakal Turunkan Skuad Terkuat Hadapi Everton

Liverpool

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan skuad bimbingannya itu akan berhadapan musuh setempat, Everton pada pagi Isnin nanti dengan kekuatan penuh dalam usaha semakin menghampiri gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20.

Liverpool yang kini unggul di puncak liga dengan kelebihan 22 mata meninggalkan juara bertahan, Manchester City, hanya memerlukan dua kemenangan sahaja lagi untuk menamatkan penantian panjang bagi mengucup trofi liga paling popular di dunia itu.

Sehubungan dengan itu, skuad dengan kekuatan penuh sudah pastinya amat diharapkan oleh pengendali kelahiran Stuttgart itu bagi menghadapi Everton di Goodison Park nanti.

Klopp dalam pada itu turut memberikan bayangan bahawa tiada masalah kecederaan yang dihadapi oleh anak buahnya ketika sesi latihan.

”Pada ketika ini, tiada pemain yang benar-benar akan diketepikan pada perlawanan Ahad ini, tetapi kami perlu untuk melihatnya.”

”Ada beberapa pemain berlatih dengan lebih, ada juga yang kurang berlatih, kesemuanya berlatih di semua sesi latihan.”

”Jadi, itu merupakan berita baik di mana pada akhirnya, kami mempunyai skuad yang baik dalam padang, 100 peratus kekuatan,”ujar Klopp menurut laporan dikeluarkan Goal.

Aksi persahabatan bertemu Blackburn yang berlangsung di Anfield tempoh hari juga menjadi pentas berguna buat Klopp dalam menilai prestasi anak buahnya selepas berehat lama dari beraksi apabila anak buahnya mencatatkan kemenangan 6-0 menerusi jaringan Sadio Mane, Naby Keita, Takumi Minamino, Joel Matip, Ki-Jana Hoever dan Leighton Clarkson.

Selepas mengharungi 29 perlawanan liga, Liverpool berjaya mencatatkan 27 kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan untuk mengumpul 82 mata. Skuad Jordan Henderson dan rakan sepasukannya itu juga menjadi pasukan yang paling sedikit dibolosi (21 gol).

Kredit featured image: Liverpool FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai pendahulu EPL ini:

Leave a Reply