Trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan dijulang oleh Liverpool sekiranya kelab Meseyside itu dinobatkan sebagai juara pada Ahad ini hanyalah sekadar trofi replika.
Menurut laporan media antarabangsa The Times, trofi tersebut diperbuat daripada perak dan mempunyai keperincian serupa dengan trofi asal yang akan berada di Stadium Komuniti American Express – dimana Manchester City akan berkunjung ke Brighton untuk perlawanan terakhir pada musim ini.
Hari penentuan
Dalam perlawanan yang diadakan pada hari dan waktu yang sama, Liverpool akan beraksi di Anfield – dengan Wolves akan menjadi pasukan terakhir yang bakal anak buah Jurgen Klopp hadapi pada musim ini di saingan liga.
Menjelang hari terakhir saingan liga, Liverpool hanya ketinggalan satu mata kepada Manchester City.
Skuad kendalian Pep Guardiola mengumpul 95 mata dari 37 perlawanan setakat ini. Manakala Liverpool yang tewas hanya sekali musim ini – kepada Manchester City pada Januari lalu – mengekori rapat dengan jumlah 94 mata.
Replika
Keadaan ini menyebabkan pihak penganjur menyediakan trofi replika di Anfield untuk sebarang kemungkinan Liverpool menjuarai liga pada musim ini.
Trofi replika tersebut bukan trofi baharu yang ditempa disebabkan kedudukan mata diantara kedua-dua pasukan.
Sebaliknya ia adalah replika yang sering digunakan untuk tujuan promosi di studio televisyen, atau program jelajah lain yang dianjurkan di serata dunia.
Trofi asal yang berada di Stadium Etihad selepas City muncul juara pada musim lalu, akan dibawa ke Brighton pada Ahad ini. Sudah tentu trofi asal akan ke Anfield kemudian, sekiranya Liverpool berjaya mengatasi kutipan mata City pada Ahad ini.
Liverpool adalah juara 18 kali Liga Inggeris. Kejuaraan terakhir Liverpool ialah pada 1990 – sebelum Liga Perdana Inggeris diperkenalkan pada 1992.