FIFA telah memberikan hak kepada Qatar untuk menjadi tuan rumah Piala Kelab Dunia untuk dua edisi pertandingan tersebut , pada 2019 dan 2020.
Majlis FIFA dalam mesyuarat yang diadakan di Paris pada Isnin lalu telah meluluskan cadangan tersebut dan bersetuju agar pertandingan ini diadakan di negara teluk itu.
Ujian buat Qatar
Dua penganjuran kejohanan tersebut akan dilihat sebagai ujian buat Qatar yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2022.
“Sekarang kita sudah ada Piala Kelab Dunia 2019 dan 2020. Kerana itu kami amat teruja dan sudah tentu penganjuran Piala Kelab Dunia akan menjadi medan ujian kepada Qatar,” ujar Pengerusi komiti penganjur, Hassan Al Thawadi.
Juara Eropah, Liverpool turut akan bertanding di Piala Kelab Dunia 2019 selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) pada Ahad lalu.
“Kami telah menjawab soalan ini berulang kali. Ya, semua orang dialu-alukan dan akan menikmati pertandingan ini,” ulas Al Thawadi mengenai penyokong luar yang akan ke Qatar.
“Saya akan memberikan maklumat terperinci mengenai operasi penganjuran kemudian. Buat masa ini saya hanya boleh katakan ia [penganjuran] adalah peluang terbaik untuk kami belajar sesuatu,” tambah Al Thawadi lagi.
Peluang Liverpool juara dunia
Di pertandingan Piala Kelab Dunia 2019 yang dijadualkan pada Disember depan, Liverpool akan bertanding menentang wakil dari konfederasi lain, dan juga juara dari negara penganjur.
Sehingga kini, wakil Mexico, Monterrey; Esprance and Hienghene Sport dari Tunisia sudah pun melayakkan diri. Mereka akan disertai juara Ocenia dari New Caledonia, tatkala wakil dari Asia dan Amerika Selatan akan diketahui selewat-lewatnya pada November.
Manakala Al Sadd SC akan mewakili negara tuan rumah Qatar. Al Sadd baru-baru ini telah mengumumkan pelantikan bekas bintang Barcelona dan Sepanyol. Xavi sebagai Ketua Jurulatih.
Liverpool will travel to Qatar in December to compete at Fifa’s Club World Cup after the Gulf state was named as the new host.
Qatar will hold the next two editions of the tournament in 2019 and 2020.
➡ https://t.co/ou8lTUTLcH #bbcfootball #LFC pic.twitter.com/xkIL3bG7Lp
— BBC Sport (@BBCSport) June 3, 2019
Selaku juara Eropah, Liverpool akan terus mara ke peringkat separuh akhir. The Reds tewas 1-0 di perlawanan akhir pertandingan yang sama pada 2005 kepada Sao Paulo.
Pertandingan ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk Liverpool memintas jumlah kutipan trofi utama yang dimiliki Manchester United. Kedua-dua kelab Inggeris itu kini masing-masing telah mengumpul 42 kejuaraan utama setakat ini.
Manchester United adalah satu-satunya kelab Inggeris yang pernah menjuarai Piala Kelab Dunia setakat ini, apabila menjuarai pertandingan tersebut pada 2008.
FIFA juga mengesahkan format pertandingan akan diubah mulai 2021, dengan penglibatan 24 pasukan – diadakan empat tahun sekali – untuk menggantikan Piala Konfederasi.