Kontrak pemain tengah naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dilaporkan hanya berbaki satu bulan sahaja lagi bersama Terengganu, dengan status masa depan beliau bersama kelab tersebut tidak kekal bagi musim hadapan selepas disahkan menerusi wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Liridon pada awalnya menyertai Terengganu sebagai status pinjaman kerana ketika itu pemain kelahiran Kosovo tersebut masih memiliki kontrak bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perjalanan Liridon dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dianggap cukup menarik selepas beliau memulakan karier dengan begitu cemerlang sebagai status import bersama Kedah Darul Aman (Kedah) dengan reputasi cukup tinggi.
Sebagai perancang utama Kedah ketika itu, bekas pengendali pasukan tersebut iaitu Tan Cheng Hoe menjadi watak penting untuk terus mengembangkan kualiti Liridon seoanjang di Malaysia.
Selepas kedua individu tersebut tidak lagi bekerjasama, masing-masing membawa haluan tersendiri bersama rekod yang dicipta turut berbeza.
Kali terakhir kedua individu ini bekerjasama pada tahun 2021 ketika Cheng Hoe masih menjawat sebagai jurulatih skuad kebangsaan, dan Liridon selaku pemain Harimau Malaya.
Selepas itu, tiada lagi kerjasama terjalin antara Cheng Hoe dan Liridon selepas masing-masing meneruskan karier bersama pasukan tersendiri.
Untuk musim hadapan, Selangor bakal beraksi di pentas Asia dengan persiapan awal sudah tentu ingin dilakukan mereka terutama sekali dalam memastikan pemain berkualiti untuk menjulang nama kelab.
Setakat ini, Selangor tampil dengan begitu baik di posisi pertahanan dan serangan mereka yang sangat ampuh, kecuali sisi kelemahan masih ketara daripada segi penguasaan bola di bahagian tengah.
Kehadiran Alexander Agyarkwa, Noor Al-Rawabdeh, Mukhairi Ajmal, Brendan Gan, serta beberapa nama lagi dianggap masih belum cukup untuk menjadikan The Red Giants sebagai antara kelab berpengaruh di posisi tersebut.
Cheng Hoe yang dikenali merupakan seorang jurulatih yang mementingkan penguasaan bola di atas padang bersama barisan pemain kunci untuk menggerakannya.
Daripada segi keperluan tersebut, Liridon boleh dianggap sangat layak untuk ditandatangani Selangor jika beliau tidak meneruskan kontrak jangka masa panjang bersama Terengganu.
Walaupun menghadapi isu konsistensi sejak beberapa musim ini, Liridon dilihat kini semakin baik di atas padang serta kebolehan beliau juga seolah sudah pun pulih seperti era kegemilangan untuk menjadi antara tonggak tengah berpengaruh di Malaysia.
Bersama pakej untuk mengisi slot pemain tempatan, tidak rugi rasanya jika pengalaman serta kelebihan dimiliki Liridon cuba diintai barisan kejurulatihan Selangor.
Apatah lagi mereka bakal mengharungi musim lebih padat pada tahun hadapan yang memerlukan seramai mungkin pemain berkualiti untuk digilirkan oleh jurulatih.
Pandangan anda, adakah Liridon patut kekal bersama Terengganu sebenarnya atau layak buat Selangor pada musim hadapan?