Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi dilihat gembira menyambut perkhabaran mengenai statusnya untuk bergelar pemain naturalisasi kedua skuad negara telah disahkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam mengumumkan perkara tersebut dua hari yang lalu selepas menerima surat kelulusan daripada badan induk bola sepak dunia tersebut baru-baru ini.
Menerusi laman Instagramnya pada malam tadi, pemain kelahiran Kosovo itu dilihat mengucapkan syukur dan menyatakan ia adalah hari yang baik buat dirinya sambil meletakkan emoji tangan, bendera Malaysia serta muka tersenyum.
“Hari ini adalah hari yang baik. Alhamdulillah,” kata Liridon Krasniqi.
Bekas pemain Kedah itu sebelum ini menerima kad pengenalan Malaysia (MyKad) di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya pada 3 Februari lalu terlebih dahulu dan telah didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk skuad JDT tempohari.
Setelah beberapa bulan menanti, akhirnya Liridon sah boleh beraksi dan pastinya akan menerima panggilan negara pada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bergantung kepada tahap kecergasan dan juga kesesuaiannya nanti.
Liridon Krasniqi merupakan antara pemain penting buat pengendali Harimau Malaya ketika ini, Tan Cheng Hoe ketika beliau membimbing Kedah mencipta kejayaan bersama menjuarai Liga Premier 2015 dan juara Piala Malaysia 2016.
Untuk kejayaaan peribadi pula, selain ketika diraih bersama Tan Cheng Hoe, beliau juga pernah menjulang Piala Sumbangsih 2017 dan Piala FA 2017 sebelum meninggalkan Kedah untuk saingan 2019. Bersama JDT pula, beliau telah membantu mereka memenangi Piala Sumbangsih 2020 ketika menewaskan Kedah tempohari.
Pemain import terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 itu sudah tentu akan bertarung untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan yang dilihat sudah memiliki pemain seperti Brendan Gan dan Nor Azam Azih.
Selain itu, jentera tengah skuad negara turut memiliki dua lagi rakan sepasukannya, Syamer Kutty Abba dan Afiq Fazail yang sudah tentu menjadi pesaing tetapnya di dalam skuad Harimau Malaya dan sudah tentu di JDT.
Untuk rekod, pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh telah membuat penampilan pertamanya pada 12 Oktober 2018 ketika berdepan Sri Lanka selepas menerima kerakyatan Malaysia pada April tahun yang sama.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST