Liridon Krasniqi Diiktiraf Sebagai “Raja Gelecek” Indian Super League

Liridon Krasniqi diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL pada 24 Februari lalu, pemain naturalisasi Harimau Malaya itu memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.

Tidak ada pemain lain yang berjaya menghasilkan purata kejayaan menggelecek seperti yang dihasilkan oleh Liridon pada musim ini di Liga Super India.

Pemain tengah berusia 30 tahun yang turut digelar ‘The General’ di kalangan pengikut ISL itu melakukan 16 penampilan secara keseluruhan untuk kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar sepanjang musim ini.

9 daripada penampilan tersebut adalah dari bangku pemain simpanan. Walaupun bermula dengan agak perlahan di India, Liridon mulai mencuri tumpuan dengan kemampuan beliau mengawal jentera tengah Odisha sehingga segelintir peminat kelab itu mulai mendesak agar beliau dikekalkan untuk saingan pada musim depan.

Pemain naturalisasi kedua negara itu menyertai kelab Hero Liga Super India, Odisha FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ogos tahun lalu, selepas turut dipinjamkan ke A League untuk beraksi bersama Newcastle Jets sebelum itu.

Berdasarkan kontrak sebelum ini, Liridon hanya dipinjamkan selama semusim bersama Odisha. Berbaki satu perlawanan di Liga Super India, masa depan Liridon kini menjadi tanda tanya, sama ada beliau akan pulang memperkuatkan kelab asalnya JDT atau terus beraksi di luar negara.

Leave a Reply