Lionel Messi mengakui beliau terharu dan berterima kasih ke atas penyokong Real Betis yang memberikan tepukan penghargaan di Benito Villamarin semalam.
Messi membuka tirai jaringan dengan sepakan percuma cantik pada minit ke-18. Messi kemudian menambah satu lagi gol pada lewat separuh masa pertama – hasil umpanan cantik Luis Suarez.
Pada separuh masa kedua, Messi melengkapkan hatrik untuk memastikan Barcelona menang 4-1 ke atas Real Betis. Beliau menjaringkan gol ke-4 itu – selepas gol oleh Luis Suarez.
Para penyokong Real Betis bangun dan memberikan tepukan penghargaan ke atas legenda La Liga tersebut. Para penyokong Betis turut bersama-sama penyokong Barca melaungkan: “Messi, Messi.”
Marc Batra dan Clement Lenglet antara pemain yang menunjukkan reaksi tergamam, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang mereka sedang saksikan.
Esto ya lo he vivido, pero vuelve a pasar. El Villamarín aplaude a Messi.1-4 #respect pic.twitter.com/84n6nes7nj
— Mónica Marchante (@m_marchante) March 17, 2019
https://www.youtube.com/watch?v=R0NehHyZHIE
Para penyokong Betis menganggap mereka bertuah kerana dapat menyaksikan legenda hidup seperti Messi beraksi di atas padang.
Selepas tamat perlawanan, Lionel Messi memberitahu Movistar Partidazo: “Saya tidak ingat pemain lawan yang diberikan tepukan penghargaan sebegitu rupa, dan saya berasa sangat berterima kasih di atas reaksi para penyokong.”
“Setiap kali kami datang ke sini, orang di sini melayan kami dengan baik. Saya berasa sangat berterima kasih dan gembira dengan kemenangan yang sangat penting ini.”
Barcelona kini berkelebihan 10 mata berbanding dengan Atletico yang berada di tangga kedua. Lionel Messi sekali lagi menjadi penjaring utama Barcelona seperti tahun-tahun sebelum ini.