Lionel Messi Punca Sebenar Perancangan Pochettino Gagal

Lionel Messi dikatakan punca sebenar mengapa gagalnya perancangan Mauricio Pochettino sepanjang musim ini dengan pengurus dari Argentina itu bergelut untuk mendapatkan keputusan yang baik.

Bekas pemain kebangsaan Perancis, Willy Sagnol tampil mempertahankan pengurus Paris Saint Germain, Mauricio Pochettino dengan menganggap Lionel Messi adalah punca sebenar aksi tak menentu PSG musim ini.

Pengurus dari Argentina itu tidak dinafikan kerap dikritik atas aksi tak menentu kelab sejak dari awal kedatangan beliau pada tahun lalu.

Baru-baru ini, beliau semakin teruk dihentam dek kerana gagal memastikan PSG konsisten dalam mencatat kemenangan dan hal itu juga turut menyebabkan masa depan beliau menjadi tanda tanya.

Terdapat terlalu banyak laporan yang menyatakan bahawa Pochettino bakal meninggalkan kelab pada musim panas akan datang.

Beliau hangat dikaitkan dengan bakal dilantik menjadi pengurus Manchester United, selepas gergasi Premier League itu kini sedang dalam usaha mereka mencari pengurus tetap.

Walau bagaimanapun, Sagnol percaya yang Pochettino tak sepatutnya dihentam kerana situasi yang berlaku di PSG ketika ini adalah berpunca dari Lionel Messi.

Beliau merasakan kehadiran bekas bintang Barcelona itu telah mengubah sepenuhnya dinamik kelab dan mengganggu perancangan Pochettino.

Bercakap kepada beIN Sports, legenda berusia 44 tahun itu menyatakan bahawa:

“Ia merupakan musim yang sedikit sukar. Tapi semuanya berpunca dari kedatangan Lionel Messi yang telah mengubah pelbagai perkara.”

“Ia sangat menakjubkan untuk dapat pemain seperti itu dalam saingan Ligue 1, untuk imej liga. Tapi bagi seorang pengurus, ia merupakan satu tugas yang sangat berat untuk dihadapi.”

Gergasi Perancis itu pada ketika ini memiliki barisan pemain berkelas dunia dalam skuad mereka, terutama untuk pemain-pemain di posisi serangan.

Sagnol dalam kenyataannya turut menyatakan yang bukan mudah sebenarnya untuk seseorang pengurus itu menguruskan semua pemain bintang pada satu masa yang sama.

“Ketika kamu juga memiliki Kylian Mbappe, Neymar dan Angel Di Maria… Bagaimana kamu mahu pastikan mereka boleh bermain bersama? Ia tak mustahil untuk berlaku.”

“Tapi tak ada pengurus yang boleh mengendalikan kesemua mereka dalam perlawanan penting di Champions League yang mana tahapnya sangat tinggi.”

Beliau merasakan Pochettino sebenarnya sudah ada rancangan beliau tersendiri untuk menggunakan khidmat pemain seperti Mbappe, Neymar dan Di Maria pada musim ini.

Namun dengan tiba-tiba pihak kelab menandatangani Lionel Messi, jelas sekali segala perancangan itu perlu diubah dan perlu disesuaikan dengan cara pemenang tujuh kali anugerah Ballon D’or itu.

Messi kembali dapatkan rentak persembahan terbaiknya bantu PSG kutip 3 mata

Ketika aksi bertemu Real Madrid dalam saingan Champions League sebelum ini, Lionel Messi dihentam teruk oleh para peminat kerana gagal pamerkan aksi persembahan terbaiknya.

Beliau juga gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan tersebut, dan mujur saja Kylian Mbappe berjaya jaringkan gol di minit akhir untuk beri kemenangan 1-0 kepada PSG.

Walau bagaimanapun, ketika beraksi bertemu Saint-Etienne awal pagi tadi, Lionel Messi cemerlang mencatatkan dua assist, dan turut mempamerkan aksi persembahan yang sungguh meyakinkan.

PSG awalnya dijangka bakal sekali lagi mencatatkan kekalahan musim ini selepas Saint-Etienne membuka tirai jaringan mereka seawal minit ke-16 permainan.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam perlawanan ini berjaya membantu PSG untuk melakukan comeback, seterusnya mencatatkan kemenangan 3-1.

Bintang Argentina itu mencatatkan dua assists untuk gol yang dijaringkan oleh Kylian Mbappe pada minit ke-42 dan 47 permainan, sebelum Danilo Pereira meledak gol ketiga PSG pada minit ke-52 untuk mengesahkan kemenangan 3-1 mereka menewaskan Saint-Etienne.

Masa depan pengurus PSG bergantung kepada keputusan Champions League

PSG berjaya menewaskan Real Madrid 1-0 dalam aksi leg pertama pusingan 16 terbaik di Parc des Princes sebelum ini.

Mereka kini merupakan calon kegemaran untuk melayakan diri ke pusingan seterusnya, walaupun peraturan gol tempat lawan sudah dimansuhkan oleh UEFA.

Seandainya PSG gagal untuk mara lebih jauh musim ini, maka masa depan Mauricio Pochettino juga turut sama akan terjejas.

Champions League merupakan kejohanan yang sudah lama diidamkan oleh gergasi Ligue 1 itu, dengan mereka sehingga kini masih dalam usaha untuk membawa pulang gelaran terbesar Eropah itu ke bumi Paris buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Pada tahun 2020 yang lalu, Paris Saint Germain sudah sangat hampir untuk memenangi gelaran Champions League, namun usaha mereka digagalkan oleh Bayern Munich.

Selepas tewas dalam aksi perlawanan akhir bertemu Bayern Munich, musim berikutnya PSG disingkirkan oleh Manchester City di peringkat separuh akhir.

Tahun ini, dengan skuad mereka dibarisi oleh barisan bintang-bintang terhebat dunia yang diketuai oleh Lionel Messi, sudah tentu pimpinan kelab berharap Pochettino akan mampu memenangi gelaran Champions League pertama dalam sejarah mereka.

https://twitter.com/Messicentre30/status/1497682402386219008?t=cuvUlGAATfG3SCDyUI0ojA&s=19

Seandainya Pochettino gagal, sepertinya sudah hampir pasti beliau akan meninggalkan kelab, dan berkemungkinan akan kembali ke saingan Premier League untuk mengendalikan Manchester United.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN