Penyerang dan kapten Barcelona, Lionel Messi kelihatan marah dan tidak mengendahkan pengadil perlawanan yang ingin berjabat tangan dengan beliau sebagai tanda protes.
Kejadian berlaku selepas tamat perlawanan La Liga yang menyaksikan Barcelona diikat Girona 2-2 di Nou Camp pada Ahad lalu.
Keputusan seri tersebut turut merencatkan permulaan cemerlang Barcelona pada musim ini yang mencatatkan empat kemenangan sebelum ini.
Messi yang turut menjaringkan satu gol untuk Barcelona dalam perlawaan tersebut jelas tidak mahu menyembunyikan perasaan tidak puas hati beliau kepada pengadil, Jesus Gil Manzano.
Sebelum itu perlawanan tersebut dicemari oleh layangan kad merah kepada pemain pertahanan Barcelona, Clement Lenglet.
Pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada Lenglet selepas memeriksa sistem VAR, yang mengesahkan Lenglet menyiku pemain lawan.
Barcelona mendahului 1-0 pada ketika itu melalui jaringan Messi.
Bermain dengan kelebihan seorang pemain membenarkan Girona untuk menjaringkan gol penyamaan pada pengakhiran babak pertama perlawanan melalui Cristian Stuani.
Girona yang semakin bersemangat bersambung babak kedua perlawanan tidak menunggu lama untuk meletakkan Girona di hadapan hanya selepas enam minit perlawanan disambung kembali.
Namun Gerard Pique berjaya menyamakan kedudukan untuk Barcelona pada minit ke-63 perlawanan.
Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan, dan Messi jelas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang memberikan kesukaran kepada Barcelona.
Selesai perlawanan ia adalah kebiasaan untuk kapten dua pasukan berjabat tangan dengan pengadil perlawanan, namun kali ini Messi mahu pengadil jelas akan rasa tidak puas hati beliau.
Menurut pengurus pasukan, Ernesto Valverde, seluruh pasukan berpendapat pengadil melakukan kesilapan dengan melayangkan kad merah kepada Lenglet.
“Kad merah tersebut menjejaskan kami. Kami juga tidak bernasib baik kerana melepaskan gol di minit akhir babak pertama,” ujar Valverde.
“Saya belum meneliti insiden melibatkan Lenglet. Ia jelas pemain bertembung antara satu sama lain, dan pengadil mendakwa ada tindakan menyiku dari pemain kami.
“Apa pun, ia adalah kad merah pertama yang menyaksikan pemain lawan yang menjadi mangsa siku memohon maaf,” tambah Valverde.
Keputusan seri tersebut bermakna Barcelona kini terikat mata dengan seteru utama mereka di La Liga selepas Real Madrid menewaskan Espanyol 1-0 pada Sabtu lalu.
Namun kelebihan perbezaan gol membenarkan Barcelona berada di kedudukan teratas La Liga setakat ini.