Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi mengakui yang dirinya dan seluruh skuad negara itu tidak gentar akan sesiapa di Piala Dunia 2022.
Hadir sebagai juara Copa America dan mempunyai prestasi terbaik sebelum kejohanan bermula, Argentina kini berada dalam prestasi terbaik untuk memburu kejuaraan dunia yang ketiga.
Dan keyakinan sedang mengalir kencang dalam diri Messi.
“Kami teruja dan kami bersedia untuk berjuang, kami tak takut dengan sesiapa kerana kami bersedia untuk menentang sesiapa sahaja dengan hati yang tenang.
”Piala Dunia adalah perkara yang sukar, banyak perkara perlu terjadi [untuk memenanginya], bukan sekadar bermain baik. Tetapi ada perkara lain juga perlu dilakukan dan pasukan lain turut berada di sana dan mereka juga sedang beraksi baik,” kata Messi menerusi ESPN.
Messi juga menyatakan yang penyokong Argentina seharusnya bertenang dalam hal ini kerana tidak mahu harapan terlalu menggunung diletakkan kepada skuad Lionel Scaloni.
Messi bimbang jika terlalu tinggi harapan diletakkan, maka kekecewaan akan berlaku jika ianya tidak kesampaian.
”Hari ini kami beraksi dengan baik dan ramai yang teruja.
”Malah ada juga yang berfikir yang kita akan membawa pulang Piala Dunia, tetapi ianya bukan begitu,” jelas Messi.
Argentina diletakkan dalam kumpulan C bersama-sama Arab Saudi, Mexico dan juga Poland.
Mereka akan memulakan saingan dengan berdepan Arab Saudi pada 22 November ini.