Lim Teong Kim: Jurulatih Yang ‘Overrated’ Atau Perlukan Masa?

Lim Teong Kim Perak Penang 'overrated'

Adakah Lim Teong Kim perlukan lebih lagi masa bagi membentuk ‘The Bos Gaurus’ atau sebenarnya beliau adalah seorang jurulatih yang ‘overrated’?

Kekalahan 1-3 Perak ke atas Penang dalam aksi ke-6 Liga Super tempohari akhirnya telah meletakkan Lim Teong Kim dalam ‘periuk tekanan tinggi’.

Barangkali itu gambaran yang dapat menjelaskan situasinya apabila pasukannya masih bergelut dalam saingan liga. Dan, dapat dilihat kesabarannya sudah berada di kemuncak saat di sidang media.

Mukanya merah padam saat melangkah masuk ke bilik sidang media.

Aksi babak pertama Perak macam sampah,” katanya tentang prestasi pasukannya yang membuatkan isi bilik sidang media tergamam, tidak menyangka itu reaksinya terhadap permainan ‘The Bos Gaurus’.

Saya kata yang babak pertama sangat teruk. Mereka mungkin masih tidur. Babak kedua selepas kita buat pertukaran pemain, persembahan pasukan berubah,” ungkapnya lagi cuba menjelaskan apa yang dimaksudkannya.

Ini bulan Ramadan. Anda boleh tengok, pemain saya [yang bermain] semuanya tempatan. Ini satu kekurangan di pihak kami,” tambahnya.

Variasi alasan, inikah kualiti Teong Kim?

Sekali lagi, Lim Teong Kim hadir dengan sebuah alasan untuk menjelaskan tentang keputusan perlawanan yang tidak memihak sekali lagi kepadanya.

Mungkin beliau popular kerana variasi alasannya. Kita pernah mendengar bola seperti katak melompat dan berseloroh mahu memanggil bomoh. Kini, bulan puasa pula jadi alasan tentang aksi longlai anak buahnya. Ia masih boleh didebatkan kerana semua pasukan juga melalui situasi sama.

Bukan hanya Perak sedang berpuasa, seluruh negara, malah di segenap pelosok dunia sedang melalui bulan berpuasa. Ini bukan alasan konkrit.

Tidak dinafikan Perak adalah pasukan yang di’reset’ semula dengan barisan pemain-pemain muda dengan beberapa pemain senior dan import. Teong Kim ada menyebut tentang pemainnya yang masih kekurangan dari segi pengalaman untuk bermain di pentas saingan liga tertinggi di Malaysia.

Pemain kita masih kurang pengalaman. Ini juga satu masalah buat kami. Kami ada ramai pemain-pemain muda yang tiada pengalaman bermain di Liga Super,” jelas pengendali berusia 59 tahun itu lagi kepada pihak media.

Mungkin Teong Kim tersalah percaturan? Mungkin beliau mengharapkan akan ada magis daripada barisan pemain muda ini untuk bermain baik?

‘Trust the process’ bersama Teong Kim

Untuk mengatakan beliau tersalah percaturan untuk membimbing Perak dengan barisan pemain-pemain muda, mungkin kurang tepat. Sebab beliau ada mengatakan yang Perak ini matlamatnya membina pasukan – untuk masa depan. Itu antara kenyataanya di dalam sidang media yang sama.

Dan pengurusan Perak memahami situasi pasukan dan dirinya ketika ini.

Pengurusan di awal pelantikan telah memberi pengecualian kepadanya di musim pertama ini. Musim ini adalah musim peralihan dan tiada lagi alasan untuk musim depan kerana masa yang diberi dikatakan sudah mencukupi.

Jadi, penyokong juga wajar memahami situasi Teong Kim dan pasukannya.

Lagipun kontraknya bersama pasukan adalah selama dua tahun dengan pilihan untuk memperbaharui kontrak selama setahun lagi kemudian.

Kita boleh melihat contoh di luar negara seperti berapa lama pengurusan Arsenal memberi kepercayaan dan masa buat Mikel Arteta saat beliau melalui musim sukarnya sebelum ini? Beliau pernah ‘disisih’ penyokong.

Dua musim di kedudukan ke-8 diikuti tangga ke-5 sebelum mendahului carta Premier League untuk musim 2022/23 selepas 29 perlawanan.

Mujur pihak pengurusan Arsenal kekal berada di belakangnya dan telah memberinya kepercayaan. Mereka sedang dalam fasa untuk menuai hasil kesabaran terhadap prestasi ‘The Gunners’ selama beberapa musim.

‘Trust the process’ adalah frasa yang digunakan Arteta kira-kira tiga tahun lalu. Dan Teong Kim sedang meminta perkara yang sama di Perak.

‘Overrated’?

Adakah Teong Kim ‘overrated’? Ini juga telah menjadi tajuk di kalangan penyokong di mana ada yang berfikiran, beliau hanya pengendali biasa.

Manakan tidak, penolong jurulatih Penang, Manzoor Azwira pun mampu untuk menjinakkan skuad kendaliannya dalam perlawanan tempohari.

Beliau pernah menjadi Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang melahirkan ramai pemain muda berkualiti di dalam negara. Malah, ketika bekerja di Jerman, beliau pernah melatih pemain-pemain seperti Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

CV beliau sangat menarik dan tentunya dipandang tinggi oleh penyokong di Malaysia. Tetapi, beliau sering kali menerima sindiran daripada beberapa jurulatih tempatan antaranya yang lantang bersuara, B Satiananthan.

Jadi jangan cakap banyak, saya cabar Lim Teong Kim kalau budak AMD ni bagus sangat, bawa pergi Jerman dengan dia punya ‘connection’. Kan dia terkenal hasilkan Thomas Muller, jadi gilaplah mereka jadi Malaysia punya Muller,” ungkap Satia beberapa tahun lalu saat mereka berperang mulut.

Apabila memiliki CV melangit sebegini, barangkali timbul isu ‘overrated’. Bayangkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga pernah dedahkan hal permintaan gajinya iaitu Є70,000 – Є80,000 (RM327,000-RM374,000) untuk sebulan.

Masa dia nak kerja dengan saya, dia minta 70-80 ribu Euro sebulan dan nak bawa dua, tiga orang pembantu. Takkan saya nak bayar sampai begitu. Saya punya pemain dan ketua jurulatih pun tak sebanyak itu,” tegas TMJ dalam satu temu bual bersama sebuah penyiar di Malaysia kira-kira setahun lalu.

Takkan hanya kerana kenyataan Muller beberapa tahun lalu mengenainya menjadi jurulatih pertama dan digemarinya telah menjadikannya ‘overrated’ dan boleh minta sesuatu yang melebihi kemampuan pasukan di Malaysia?

Kita tiada jawapan untuk itu dan ia terpulang kepada pasukan untuk menilai permintaan gajinya dengan kemampuannya sebagai seorang jurulatih.

Penutup

Adakah Lim Teong Kim perlukan masa atau ‘overrated’ sebenarnya?

‘Overrated’ barangkali hanya di mata semua penyokong mahupun pemerhati liga tempatan tetapi apa yang beliau telah lalui selama ini menjadikannya sedikit berkelebihan berbanding jurulatih tempatan lain.

Mungkin dalam tidak sedar, sebelum ini ada yang meletakkannya di tempat yang terlalu tinggi? Apabila berada di saingan tempatan kini, barulah beliau tahu bagaimana langit di Malaysia amat jauh berbeda dengan Jerman.

Mungkin juga beliau perlukan masa. Jika sejak awal sudah dikatakan musim depan segalanya akan dinilai, jadi, musim ini penyokong Perak bolehlah bertenang dan redha dengan keputusan diraih pasukan dicintai.

Bak kata penolong jurulatih, V Saravanan kepada Bola itu Life, sebuah rancangan terbitan Astro Arena, “Ini adalah projek tiga tahun. Tahun pertama, bangunkan pasukan, tahun kedua jadi pasukan pertengahan liga dan tahun ketiga, kita cuba dapatkan trofi. Disamping itu kita bentuk pemain muda.”

Tak adil pemain-pemain muda dibebani dengan misi untuk menang. Itu salah. Ya, saya pun nak menang, semua nak menang. Tapi mereka perlukan masa untuk dibentuk,” jelas bekas pemain dan lagenda Perak itu sendiri.

Harapnya kepercayaan kepada proses tidak membawa pasukan ke M3.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN