Penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli ada menyatakan tentang Thailand yang tidak gunakan ‘kuasa’ pemilikan kelab luar negara untuk membawa pemain mereka, mungkin beliau terlupa kisah Teerasil Dangda.
Dan mungkin juga beliau tak tahu tentang kisah penjaga gol utama Thailand, Kawin Thamsatchanan di Belgium.
Mungkin di era terkini, seperti contoh yang diberikannya, pemilik Leicester City yang merupakan ahli perniagaan Thailand tidak membawa pemain mereka ke sana adalah benar, namun janganlah kita lupa kisah tiga pemain skuad kebangsaan Thailand yang menyertai Manchester City pada 2007 di era pemilikan Thaksin Shinawatra.
#OnThisDay in 2007 🏴🚢 @ManCityTH signed 🇹🇭 trio Teerasil Dangda, Suree Sukha & Kiatprawut Saiwaeo#ฟุตบอลไทย #บอลไทย #toyotathaileague #thaileague pic.twitter.com/MRmUxua7yD
— ThaiLeague (@thaileague) November 16, 2019
Ya, mereka juga pernah melakukannya. Tiga pemain iaitu Teerasil Dangda, Suree Sukha dan Kiatprawut Saiwaeo telah ‘diimport’ ke English Premier League (EPL), namun dilihat langsung tidak membuat sebarang penampilan sebelum dilepaskan untuk kembali ke Thailand apabila Thaksin Shinawatra menjualnya kepada Sheikh Mansour.
Mungkin pemilik Leicester, mendiang Vichai Srivaddhanaprabha telah belajar daripada kesilapan Thaksin Shinawatra. Masalah permit adalah antara yang utama mengapa pemain-pemain itu gagal untuk beraksi apabila Teerasil Dangda telah dipinjamkan keluar ke ‘rakan kongsi’ City, Grasshopper Zurich di Switzerland.
Begitupun, pemilik baharu Leicester iaitu anak mendiang, Aiyawatt Srivaddhanaprabha yang juga merupakan pemilik kelab di Belgian First Division A, OH Leuven dilihat pernah gunakan kuasanya untuk membawa penjaga gol utama Thailand, Kawin Thamsatchanan untuk beraksi di sana pada 2018 dengan kontrak lima tahun.
Dan, tentunya, ia juga satu pelaburan yang gagal walaupun Kawin Thamsatchanan adalah pemain bintang.
SCG Muangthong United keeper Kawin Thamsatchanan confirm 5 year deal to Oud-Heverelee Louven @ohl_official #ohl #mtutd pic.twitter.com/RIYITtL85d
— Muangthong United FC (@MuangthongUtd) January 10, 2018
Dr Pekan Ramli ada menyatakan kepada Majoriti, janganlah jadikan pemain muda negara seperti ‘barang dagangan’ untuk menjaga hubungan perniagaan antara negara atau ‘diimport’ sebab pemilikan pasukan itu.
“Kita tidak mahu pemilihan pemain negara yang ditawarkan kontrak itu dikaitkan dengan pelbagai sebab lain, berkaitan dengan pemilikan kelab atau pun untuk menjaga hubungan perniagaan antara negara.
“Akhirnya pemain kita pasti tertekan dengan persepsi peminat yang menaruh harapan tinggi untuk melihat mereka beraksi, sedangkan rasionalnya sehingga peringkat mengapa sukar sangat pemain itu mendapat peluang beraksi dalam skuad utama. Dalam perkaitan ini, kita perlu melihat kepada negara jiran, Thailand.
“Walaupun seorang taikun perniagaannya adalah pemilik kelab Leicester City, tetapi tiada seorang pemain Thailand beraksi untuk kelab tersebut.”
Dr Pekan Ramli, Majoriti
Lebih baik jadi kesebelasan utama dalam negara daripada jadi pemain simpanan di luar negara..#majoriti#podium#bolasepak#pemainsimpanan#luarnegarahttps://t.co/AJmTZ4YBq2
— Majoriti (@majoritionline) March 17, 2022
Kita tidak boleh hanya melihat kepada Leicester kerana pemilik yang sama melakukan hal ‘import’ ini bersama sebuah lagi kelab miliknya di Belgium. Beliau tidak melakukannya di EPL atas sebab masalah permit yang rumit.
Dr Pekan Ramli turut menyatakan pemain negara tidak perlu ke kelab luar atau mana-mana sekali pun jika sekadar untuk memanaskan bangku simpanan. Ia berikutan kenyataan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang prestasi Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh yang tidak memberangsangkan.
Cuba lihat semula komen Teerasil Dangda tentang kisah singkatnya di Manchester City. “Saya mendapat pengalaman berharga sepanjang tempoh di City. Ia membantu saya untuk menjadi lebih profesional dalam karier bola sepak. Ia meluaskan pandangan saya [tentang bola sepak],” ungkap ringkasnya kepada Goal.com.
Walaupun tidak mendapat minit permainan sama ada bersama City mahupun Grasshopper Zurich, Teerasil Dangda mengatakan pengalaman di sana menjadikannya pemain yang lebih baik. Dalam saingan Piala AFF 2020 tempohari, walaupun sudah berusia, apa sumbangannya bersama Thailand? Ya, kejuaraan keenam.
Jadi, penganalisis itu perlu melihat semula kes Teerasil Dangda dan rakannya selain Kawin Thamsatchanan. Tiada masalah untuk pemain negara dibawa ke luar atas tiket apa sekalipun – jika itu adalah rezekinya. Apa yang penting bagaimana pemain itu beradaptasi dengan liga luar negara dan apa yang diraihnya di sana.