Liga Super: Tewaskan Sri Pahang, Penang Rampas Kedudukan Ke-2 Liga

Penang FC Sri Pahang Liga Super 2021

Penang FC cemerlang apabila telah melonjak buat seketika ke kedudukan ke-2 Liga Super 2021 selepas berjaya menundukkan Sri Pahang dengan keputusan 2-1 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Tuan rumah kembali menyenaraikan Helmi Eliza di gawang selepas tidak beraksi dalam empat perlawanan sebelum ini. Turut kembali dalam kesebelasan utama Sri Pahang adalah Nor Azam Azih di jentera tengah.

Penang FC pula kembali diperkuat oleh bek tengah, Ryuji Utomo yang akan bergandingan bersama Rafael Vitor. Untuk pemain-pemain lain, pengendali, Tomas Trucha dilihat mengekalkan mereka untuk aksi ini.

Satu permainan pantas dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sejak daripada wisel permulaan dengan saling berbalas serangan. Keputusan meletak semula Helmi Eliza mungkin adalah tepat apabila dua kali beliau berjaya menyelamatkan gawang menerusi rembatan Sheriddin Boboev dan tandukkan Casagrande.

Minit ke-10, tiang menjadi penghalang buat Casagrande apabila rembatan kaki kirinya hanya singgah di tiang kiri gol selepas Helmi Eliza tertewas. Ia bermula menerusi hantaran baik oleh bek kiri, Azwan Aripin.

Tiga minit kemudian, bermula daripada sepakan percuma yang diambil oleh Manuel Hidalgo diberikan kepada Malik Mat Ariff yang kemudiannya hampir berjaya menewaskan Sam Somerville di gawang gol.

Dollah Salleh dilihat mengarahkan pasukannya untuk menggunakan kepantasan Malik Mat Ariff di sebelah sayap kanan untuk memecah masuk ke benteng akhir pelawat, sementara Herold Goulon pula diletakkan sebagai pemain tengah bertahan. Ketinggian dan fizikalnya dimanfaatkan sepenuhnya Sri Pahang.

Tok Gajah mempamerkan satu permainan yang lebih baik berbanding dalam beberapa aksi sebelum ini dan mereka sebenarnya masih dalam misi memburu kemenangan pertama selepas empat perlawanan.

Peluang terbaik mereka hadir di minit ke-23 menerusi Kenny Athiu selepas menerima hantaran lambung yang tepat menemuinya. Namun, rembatannya tersasar melewati palang. Tiga minit sebelum itu, Sheriddin Boboev hampir meledak gol, namun penyudahnya kurang kemas walaupun Helmi Eliza sudah pun tertewas.

Sam Somerville berjaya menyelamatkan situasi boleh gol yang dimiliki Sri Pahang selepas Kenny Athiu melepasi kawalan dua bek tengah pelawat, Ryuji Utomo dan Rafael Vitor di penghujung babak pertama.

Gandingan baik pertahanan tengah, Muslim Ahmad dan Nick Swirad sambil dibantu Herold Goulon yang berada di posisi tengah bertahan menyaksikan Harimau Kumbang sukar untuk memburu jaringan gol. Bahagian sayap Penang FC juga tampak kurang berkesan dalam cubaan melakukan hantaran lintang.

Minit ke-61, Kenny Athiu berjaya mengubat kekecewaannya di penghujung babak pertama dengan gol pembukaan perlawanan oleh tuan rumah selepas menerima hantaran lolos tepat Baqiuddin Shamsudin.

Buntu memburu gol selepas sejam aksi berlangsung, Tomas Trucha membuat pertukaran pertama dengan kemasukkan Al-Hafiz Harun mengganti Amer Azahar untuk memberi tenaga segar di jentera sayap mereka.

Hanya bertahan tujuh minit, Penang FC berhasil menyamakan kedudukan menerusi jaringan kapten, Endrick dos Santos selepas kesilapan tidak sepatutnya dilakukan oleh Helmi Eliza, terlepas rembatan lemahnya.

Sekali lagi percaturan Tomas Trucha menjadi. Danial Ashraf yang baru dimasukkan menggantikan Khairu Azrin meledak gol kedua pelawat selepas memanfaatkan hantaran backheel Casagrande di minit ke-72.

Tenaga-tenaga segar yang disuntik Penang FC dengan pertukaran pemain selepas sejam aksi berlangsung berjaya membantu mereka untuk kembali ke dalam perlawanan yang dikuasai sedikit oleh Sri Pahang.

Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakar Harimau Kumbang dan melonjak ke kedudukan ke-2 dengan 40 mata, satu mata di depan Kedah Darul Aman FC yang hanya kekurangan satu perlawanan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN