Penang FC gagal memanfaatkan deretan peluang yang dimiliki di babak kedua untuk akhirnya diikat dengan keputusan 1-1 berdepan PJ City FC, sebentar tadi.
Perubahan pemain yang dilakukan oleh Tomas Trucha berjaya memberikan perubahan kepada Harimau Kumbang, namun tidak cukup untuk memberikan tiga mata dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ dan hanya mampu berkongsi satu mata.
PJ City turun dengan empat perubahan dalam kesebelasan utama yang tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada minggu lalu dengan kemasukkan Faiz Mazlan, Mahalli Jasuli, P. Rajes dan Syahmi Zamri dengan mempertaruhkan formasi 3-4-3.
Sementara Penang pula membuat perubahan pemain dengan merehatkan Sheriddin Boboev dan memasukkan Amer Azahar untuk posisi tersebut disamping kemasukkan semula kapten, Endrick dos Santos dan Azwan Aripin dengan formasi 4-4-1-1.
Kesebelasan utama PJ City dan Penang untuk perlawanan LS9 jam 10 malam ini.
Siaran langsung di TV1, Sukan RTM, saluran YouTube unifi, unifi tv dan aplikasi playTV.#PJCPEN#LigaSuper2021 pic.twitter.com/0ZRO5b4oGo
— Sukanz. (@sukanzcom) April 18, 2021
10 minit pertama menyaksikan bola lebih banyak berlegar di kawasan middle third dengan kedua-dua pasukan masih tercari-cari rentak dan hanya bertukar hantaran. Tiada asakan merbahaya mampu dijelmakan oleh tuan rumah mahupun pelawat.
Perubahan formasi 4-3-3 kepada 4-4-1-1 mungkin menyebabkan rentak Penang memerlukan sedikit masa untuk menjadi dengan tempo perlahan digunakan pelawat dalam merencana gerakan ke kawasan defensif third tuan rumah di permulaan aksi.
Penang memiliki dua peluang terbaik untuk membuka jaringan di minit ke-11 dan ke-18 menerusi Endrick dos Santos dan Quentin Cheng, namun susulan daripada kedua-dua pemain itu langsung tidak menguji Kalamullah Al-Hafiz di gawang PJ City.
PJ City dilihat menggunakan Syahmi Zamri di sebelah sayap kanan untuk memecah blok pertahanan lawan, namun selepas setengah jam aksi berlangsung, barulah mereka berjaya memasuki untuk mengasak kawasan defensif third Penang.
39' GOL | Ruventhiran menjaringkan gol pertamanya untuk meletakkan PJ City FC di depan!@pjcityfc 1-0 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/NflJl1FdY2
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 18, 2021
Selepas setengah jam aksi barulah PJ City berjaya membuat percubaan tepat pertama mereka ke gawang yang dikawal Bryan See yang kali kedua tampil dalam kesebelasan utama menggantikan Sam Somerville yang masih mengalami kecederaan. Begitupun, sepakan percuma yang diambil Faiz Mazlan kemas ke dakapan Bryan See.
Akhirnya PJ City berjaya membuka jaringan hasil hantaran lolos Faiz Mazlan yang melepaskan Mahalli Jasuli yang membuat sentuhan mudah kepada Ruventhiran. Ruventhiran yang masuk menggantikan D. Kugan mudah menyudahkan peluang terhidang di minit ke-39 selepas gawang gol sudah luas terbuka di depannya.
Harimau Kumbang cuba bangkit dengan tampak lebih pantas untuk naik mengasak ke kubu lawan, namun tuan rumah lebih bersedia membendung asakan mereka. Minit ke-41, Al-Hafiz Harun melepaskan rembatan yang diselamatkan Kalamullah Al-Hafiz.
Menyedari skuadnya kekurangan impak di depan, Tomas Trucha membuat perubahan dengan memasukkan Sheriddin Boboev menggantikan pemain tengah, Danial Ashraf dan beliau dilihat bertindak di jentera serangan bersama Casagrande.
47' GOL | Penang FC menyamakan kedudukan menerusi tandukan Casagrande! Gol kelimanya musim ini.@pjcityfc 1-1 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/vLVZOzWQaS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 18, 2021
Hasilnya, Penang berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang sensasi mereka, Casagrande pada minit ke-48. Sepakan percuma yang diambil oleh Endrick dos Santos berjaya menemui Casagrande yang seterusnya membuat tandukan menggegar jaring gol tuan rumah – gol kelima peribadi dalam sembilan aksinya.
Deretan peluang mula dicipta pelawat, namun semuanya gagal untuk memberikan gol pendahuluan buat mereka. Al-Hafiz Harun mula mempamerkan kelincahannya, namun dua kali hantaran lolos dan lintangnya gagal disambar oleh rakan sepasukan.
Selain itu, Kalamullah Al-Hafiz juga cemerlang untuk menafikan dua rembatan oleh Endrick dos Santos dan Sheriddin Boboev pada minit ke-61 dan ke-70. Penjaga gol PJ City itu turut berjaya menepis sepakan percuma oleh Azwan Aripin di minit ke-82.
PJ City dilihat gagal menjana asakan bahaya sepanjang babak kedua berlangsung dan memberikan rehat yang panjang kepada Bryan See di gawang Penang. Tiga pertukaran pemain yang dibuat oleh P. Maniam gagal menyuntik tenaga baharu kepada mereka.
Penang sekali lagi gagal memanfaatkan peluang untuk mendaki carta kedudukan liga apabila diikat dengan keputusan seri 1-1 seperti minggu lalu dan kekal di kedudukan ke-4 dengan 16 mata, satu mata di belakang Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC