Liga Super: Sri Pahang Cemaskan JDT, Penalti Bergson Muncul Sebagai Penyelamat

Bergson JDT Sri Pahang Liga Super 2022

Selepas meraih lima kemenangan berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya telah disekat oleh Sri Pahang dengan keputusan seri 2-2 dalam saingan Liga Super 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan saling mengasak di awal permainan dengan Sri Pahang dilihat bermain agak baik dengan beberapa cubaan untuk mengasak ke benteng tuan rumah. Begitupun, benteng JDT yang ditunjangi Shahrul Saad, Aidil Zafuan dan Matt Davies selain dibantu Corbin Ong dilihat kental membendung asakan pelawat.

Kelincahan Manuel Hidalgo digunakan sepenuhnya oleh pengendali, Christophe Gamel untuk menjadi fokal asakan Tok Gajah dengan hantaran-hantaran di final third telah diberikan kepadanya untuk menekan benteng.

Pada minit ke-16, Hidalgo berhasil melepaskan satu hantaran lolos yang baik, namun Baqiuddin Shamsudin mensia-siakan peluang itu dengan percubaan tersasar. Pemain kelahiran Argentina itu jelas sukar dibendung.

Tidak sampai seminit kemudian, Bergson tampil menghadiahkan jaringan pendahuluan buat Harimau Selatan. Kesilapan pertahanan, Ashar Al-Aafiz yang terlepas kawalan bola kepada Fernando Forestieri telah menghukum mereka apabila satu umpanan lambung telah diberikan kepada Bergson yang mudah menyempurnakannya.

Selepas beberapa asakan gagal disudahkan JDT, muncul jaringan penyamaan oleh Sri Pahang di minit ke-38. Pemain gantian yang baru dimasukkan menggantikan David Rowley, Saiful Jamaluddin melepaskan rembatan deras rendah dari luar kotak penalti ke penjuru kiri gol untuk menewaskan Farizal Marlias buat kali pertama.

Tidak sampai lima minit, Hidalgo telah memberikan gol kedua buat pelawat menerusi sepakan penalti. Ini kali pertama JDT ketinggalan dalam perlawanan di Liga Super dan dibolosi dua gol oleh pihak lawan. Penalti telah dihadiahkan kepada Sri Pahang selepas Mahmoud Za’tara telah dikasari dan dijatuhkan oleh Shahrul Saad.

Benteng Sri Pahang yang diterajui kapten, Nick Swirad dan Hasnul Zaim di bek tengah dibantu oleh Azwan Aripin serta Ashar dilihat sukar digugat sepenuhnya oleh JDT. Tidak mudah untuk tuan rumah menguji lebih kerap gawang yang dikawal Mamadou Samassa. Ini penampilan kedua Hasnul Zaim di bek tengah Tok Gajah.

 

Kemasukkan pemain sayap, Moussa Sidibe seakan-akan memberi JDT kelihatan lebih berbahaya di kawasan defensive third lawan dengan kelincahannya. Menggerakkan koridor di sebelah kanan, Sidibe acapkali berjaya memecahkan sedikit keampuhan benteng pasukan lawan menerusi gerakan dan juga hantaran-hantarannya.

Antara kejayaan Sidibe adalah membuat hantaran baik kepada Forestieri yang telah mensia-siakan peluang itu dengan percubaan tersasar di minit ke-62. JDT dilihat kerap membuat percubaan tersasar walaupun Sidibe dan Arif Aiman tampak adakalanya berhasil memporak-perandakan kawasan pertahanan lawan di kanan serta kiri.

Terdesak memburu gol penyamaan, Safiq Rahim dan Ramadhan Saifullah dibawa masuk oleh Benjamin Mora. Hantaran-hantaran kemas Safiq pastinya ditagih, sementara penyudah pemain sayap seperti Ramadhan juga dimahukan tuan rumah pada saat mereka amat memerlukan jaringan untuk menyelamatkan keadaan.

Minit ke-88, kecemerlangan Hasnul Zaim tercalar apabila beliau dipersalahkan menjatuhkan Bergson di dalam kotak penalti untuk JDT mendapat sepakan penalti dan ia telah disempurnakan oleh pemain itu sendiri untuk mengikat kedudukan. Ia merupakan jaringan ke-9 peribadinya dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Perlawanan berakhir dengan JDT dan Sri Pahang terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2. Ia sudah cukup buat Tok Gajah untuk mengikat juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu di halaman gah lawan.

Leave a Reply