Liga Super: Selangor ‘Lunyai’ Dibenam Aksi 5 Bintang JDT

Selangor gagal untuk meneruskan momentum kemenangan mereka seperti minggu lalu apabila mereka mencatat kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim dengan keputusan 1-5.

Kelibat penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan pastinya paling mencuri tumpuan apabila kesilapan yang dibuat beliau mudah diambil peluang oleh serangan JDT untuk meledak gol.

Dalam perlawanan tersebut hanya dua minit diperlukan tuan rumah untuk menembusi gawang gol Selangor menerusi ayam tambatan mereka, Bergson da Silva setelah kesilapan dibuat oleh pertahanan pelawat serta tindakan refleks Khairulazhan agak lemah untuk menepis bola tersebut.

JDT jelas menguasai permainan selepas 10 minit perlawanan berlalu menerusi siri serangan yang dilancarkan dari serata arah untuk memaksa pertahanan Selangor membuat kesilapan.

Shane Lowry hampir menambah gol kedua buat tuan rumah menerusi tandukan kencang hasil hantaran daripada Leandro Velazquez di sebelah kanan. Namun bola sedikit tersasar dari gawang gol Selangor pada minit ke-15.

Pada minit ke-23, Khairulazhan sekali lagi tertewas dengan melepaskan gol kedua buat pasukan pelawat setelah beliau gagal untuk mengagak dengan tepat sepakan percuma daripada Fernando Forestieri yang terus menerjah ke gawang Selangor.

Selangor seolah hilang tumpuan dalam permainan apabila mereka terus dibolosi pada minit ke-34 menerusi Leandro pula untuk meletakkan JDT 3-0 di hadapan pelawat menerusi rembatan luar kotak penalti.

Pada penghujung separuh masa pertama, Selangor cuba mencipta kebangkitan menerusi beberapa siri percubaan dibuat untuk menguji Farizal Marlias, namun gol yang dicari pelawat masih belum ditemui.

Selangor umpama tidak mampu melakukan apa-apa lagi dalam perlawanan ini, apabila gawang gol mereka sekali lagi bolos pada minit ke-55 hasil sepakan dari sebelah kanan oleh Bergson yang terus menerjah gawang gol walaupun dijangka pemain tersebut ingin mencipta hantaran silang.

Beberapa pertukaran pemain yang dibuat oleh Selangor juga dilihat masih belum menampakkan sebarang hasil selain pasukan tuan rumah terus konsisten mengawal perlawanan dengan bertukar-tukar hantaran pendek tepat.

Selangor akhirnya berjaya meraih gol pertama mereka menerusi pemain gantian, Norhakim Hassan pada minit ke-82 yang mudah melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti untuk menewaskan Farizal Marlias.

Saat keputusan perlawanan dijangka kekal dengan keputusan 4-1, tampil Sumareh untuk melengkapkan lagi malam gemilang buat JDT apabila beliau berjaya meledak gol menerusi tandukan kencang untuk meranapkan terus Selangor di SSI.

Keputusan perlawanan kekal dengan JDT berjaya mencatat kemenangan di laman sendiri untuk kembali melonjak di persada liga setelah sebelum itu kedudukan tersebut dihuni Sabah.

Malam gemilang JDT turut dihiasi dengan Bergson kembali mengukuhkan nama beliau selaku penjaring terbanyak apabila pemain tersebut kini sudah mengumpul 11 gol keseluruhan musim ini.

Kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim

Mohd Farizal Marlias (Penjaga Gol) (Kapten Pasukan)
Matthew Thomas Davies
Mohd Afiq Fazail
Bergson Gustavo Silveira Da Silva
Leandro Sebastian Velazquez
Shane Thomas Lowry
La’vere Lawrence Corbin Ong
Ignacio Insa Bohigues
Shahrul Mohd Saad
Arif Aiman Mohd Hanapi
Fernando Martin Forestieri

Kesebelasan utama Selangor

Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (Penjaga Gol)
Quentin Cheng Jiun Ho
Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab
Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi
Herlison Caion De Souza Ferreira
Muhammad Safuwan Baharudin
Muhammad Fazly Mazlan
Alexander Agyarkwa Ameyaw
Hein Htet Aung
Sharul Nazeem Zulpakar
Brendan Seng Ling Gan (Kapten Pasukan)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN