Selangor menepati ramalan untuk mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Liga Super 2023 selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas pendatang baharu Kelantan United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu memulakan perlawanan dengan memberikan debut buat Faisal Halim, Noor Al-Rawabdeh, Yohandry Orozco dan Ayron del Valle. Kelantan United turut memperkenalkan beberapa muka baharu termasuk kapten pasukan Indra Putra Mahayuddin.
30 minit pertama perlawanan nampak seimbang selepas kedua-dua pasukan dilihat mengambil pendekatan berhati-hati, bagaimanapun Selangor mula memperkemaskan corak permainan dan melancarkan beberapa percubaan.
Hasilnya Yazan Al-Arab menyumbang gol pertama Selangor musim ini pada minit ke-40 menerusi tandukan hasil daripada sepakan sudut untuk memberikan keceriaan kepada ribuan penyokong di stadium.
Peluang terbaik Selangor untuk menambah jaringan hadir pada minit ke-80, tetapi percubaan Brendan Gan dari luar kotak penalti hanya sedikit melewati palang gol. Seminit kemudian, penjaga gol pasukan pelawat Asyraaf Omar cemerlang menidakkan tandukan tepat Ayron del Valle.
Kelantan United pula mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-86 selepas Aqil Hilman gagal memanfaatkan situasi satu lawan berdepan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dan tiga mata penuh menjadi milik Selangor.