Liga Super: PJ City Terus Rentak Positif, Kedah Jadi Santapan Terbaru

Kedah Darul Aman (KDA) gagal untuk kembali merebut kedudukan kelima carta Liga Super, setelah mereka mencatat kekalahan di tangan pelawat, Petaling Jaya City (PJ City) dengan keputusan penuh 0-1.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman (SDA), PJ City jelas beraksi dengan lebih baik dan berjaya memperoleh jaringan di separuh masa kedua menerusi pemain gantian, V. Ruventhiran.

Kemasukan pemain itu di separuh masa kedua jelas memberi masalah buat pertahanan KDA sebelum itu menerusi kelincahan dipamerkan beliau dan jaringan itu jelas menyentap moral pasukan tuan rumah.

Pada awal perlawanan jelas tuan rumah lebih menguasai permainan dengan tekanan-tekanan sentiasa diberikan kearah kubu pertahanan lawan di segenap arah.

Pasukan pelawat pula dilihat tenang untuk menyerap asakan KDA dengan menunggu beberapa peluang untuk mencipta serangan balas bagi memerangkap tuan rumah.

Tanpa Mahmoud Al-Mardi yang digantung perlawanan, kreativiti KDA dilihat sedikit terbatas walaupun banyak mencipta peluang untuk mendapatkan gol awal permainan.

Manakala pelawat pula beraksi tanpa penyerang berbisa mereka iaitu Darren Lok dengan menurunkan S. Kumahraan selaku penggempur utama PJ City untuk berdampingan bersama Mahalli Jasuli serta Sunil Caven Chandran.

Selepas 30 minit aksi berlangsung, intensiti permainan ditampilkan oleh kedua pasukan jelas agak perlahan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.

Dari segi kualiti permainan, KDA jelas mempunyai masalah untuk mencipta kombinasi permainan dengan lebih baik, setelah beberapa hantaran cuba dibuat mereka kerap dipintas pelawat.

Memasuki aksi penghujung separuh masa pertama, PJ City jelas lebih mengancam menerusi siri-siri serangan dicipta mereka untuk beberapa kali menguji Ilham Amirullah selaku penjaga gol utama KDA.

Bersambung di separuh masa kedua, baik KDA atau PJ City, masing-masing membuat pertukaran pemain di bahagian serangan untuk memperbaiki kelemahan tersebut di separuh masa pertama.

KDA jelas masih lagi buntu untuk mencipta sesuatu lebih berbahaya bagi mendapatkan jaringan sulung perlawanan, apabila gerakan cuba dibuat sering dikecewakan oleh kecemerlangan pertahanan lawan.

Berbanding PJ City, pasukan ini jelas lebih selesa mengawal bola dan tampil lebih berbahaya untuk mencipta beberapa peluang serangan bagi mengejutkan tuan rumah.

PJ City akhirnya berjaya membuka jaringan sulung mereka menerusi pemain gantian, V. Ruventhiran pada minit ke-69 setelah beliau menerima hantaran silang cantik daripada Mahalli Jasuli di sebelah kanan.

Pasukan pelawat seolah tidak mahu mengendurkan asakan, apabila mereka memasukkan khidmat seorang lagi pemain serangan iaitu R. Kogileswaran di penghujung separuh masa kedua.

Keputusan perlawanan kekal dengan PI City berjaya menggenggam tiga mata penuh di Alor Setar untuk mengecewakan KDA menerusi jaringan tunggal daripada pemain kebangsaan, Ruventhiran.

Kesebelasan utama

Kedah Darul Aman (KDA): Muhammad Ilham Amirullah Razali (Penjaga gol), Mohd Akmal Md Zahir, Marcos Vales Gonzalez, Mohamad Al Hafiz Harun, Wanja Ronald Ngah, Mohd Syazwan Zainon (Kapten), Dechi Marcel N’Guessan, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Muhamad Azmeer Aris Nor Rashid, Sanrawat Detchmitr, Azammuddin Mohd Akil

Petaling Jaya City (PJ City): Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Penjaga gol), Shivan Pillay Asokan, Mohammad Raffi Nagoorgani, Kannan Kalaiselvan, Sunil Caven Chandren, Mahalli Jasuli (Kapten), Kumaahran Sathasivam, Prabakaran Kamadasan, Filemon Anyie Standly, Tamil Maran Manimaran, Zainal Abidin Jamil

Leave a Reply