Liga Super Perlu Siapkan Penyerang Harimau Malaya Sejati Untuk Piala Asia Dalam Tempoh Setahun

Darren Lok kembali skuad kebangsaan Malaysia Hong Kong penyerang Piala Asia

Kita – terutamanya pasukan Liga Super ada tempoh setahun untuk mempersiapkan penyerang yang berkualiti untuk dibawa skuad negara ke pentas tertinggi bola sepak Asia, Piala Asia yang bakal berlangsung 16 Jun 2023.

Ketepikan dahulu soal siapa bakal menjadi tuan rumah selepas penarikan diri China. Itu sudah jadi soal kedua atau ketiga kerana kita kini sudah pun layak secara merit ke Piala Asia selepas lebih empat dekad berlalu.

Sepanjang pusingan terakhir kelayakan Piala Asia yang baru berlalu dengan Malaysia mengesahkan tiket ke saingan itu sebagai naib juara Kumpulan E dengan enam mata, tiga mata di belakang juara kumpulan, Bahrain, apakah prestasi penyerang Harimau Malaya? Adakah mereka berjaya menjadi penyerang yang berkualiti?

Masih ingat prestasi dan impak penyerang berkualiti seperti yang pernah ditampilkan oleh Safee Sali?

Penyerang sudah tentu diukur dengan jumlah jaringan walaupun adakalanya tidak semestinya ia diukur dengan gol yang diledak mereka. Penyerang ada pelbagai jenis antaranya penyerang utama dan penyerang kedua.

Selain itu, terdapat banyak lagi peranan penyerang selain dua yang disebutkan di atas misalnya ‘poacher’.

Siapa penyerang yang pengendali, Kim Pan-gon bawa sepanjang pusingan akhir kelayakan baru-baru ini?

1. Syafiq Ahmad

2. Darren Lok

3. Guilherme de Paula

Selain itu, dapat dilihat dalam perlawanan, Safawi Rasid telah diberikan peranan penyerang kedua di padang.

Berapa gol yang diledak oleh barisan penyerang tersebut? Empat daripada lapan gol telah dihasilkan mereka. Dan dua gol merupakan hasil jaringan penyerang kedua yang baru diperkenalkan oleh Kim – Safawi Rasid.

Adakah penyerang skuad kebangsaan bermasalah? Jika dilihat mereka berjaya meledak gol walaupun sedikit.

Menjaringkan gol adalah hasil kerja berpasukan. Pemain sayap menyerang seperti Faisal Halim juga boleh membantu meledak gol termasuklah bek sayap sekalipun, seperti mana Corbin Ong yang meledak gol ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam aksi pertama. Malah, bek tengah seperti Dion Cools juga menyumbang!

Tetapi, kita tetap memerlukan penyerang berkualiti dari segi penyudah jika mahu terus berjaya di Piala Asia.

Shahrel Fikri Selangor FC 2021
Penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri yang boleh dicuba tetapi minit permainan masih kurang. FOTO: No Context Bola Malaysia

Kita lihat pula senarai pemain di senarai bersedia yang diumumkan oleh Kim untuk kem skuad kebangsaan.

Dalam senarai tersebut, terdapat nama Shahrel Fikri Md Fauzi yang ketika ini beraksi bersama Selangor FC.

Begitupun, sama seperti De Paula, Shahrel Fikri juga sebenarnya bergelut dari segi minit permainan di liga. Hanya Syafiq dan Darren yang berpeluang tampil bermain dengan lebih banyak berbanding mereka berdua.

Jadi, dalam tempoh setahun ini – separuh musim ini dan separuh musim depan, penyerang tempatan perlukan minit permainan yang kompetitif. Sebagaimana Darren atau Syafiq yang diberikan ruang beraksi sebelum ini.

Begitupun, situasi Syafiq bakal berubah apabila telah dipanggil kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) saat ini.

Jika tidak, kita mungkin akan bakal melihat nama yang sama seperti De Paula dipanggil oleh Kim selepas ini. Mahu mengharapkan penyerang daripada skuad B-23? Mereka juga gagal sejak pusingan kelayakan Piala Asia B-23, Piala AFF B-22 seterusnya Sukan SEA dan diikuti Piala Asia B-23 untuk melakar dan cipta jaringan gol.

Leave a Reply