Perak terus dirundung malang apabila mengalami kekalahan 2-0 kepada pasukan tercorot UiTM dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam.
Ia merupakan kemenangan pertama buat skuad kendalian Reduan Abdullah selepas 17 perlawanan musim ini, sementara Perak pula terus tertekan dengan kekalahan ketiga berturut-turut.
Gol pertama UiTM terhasil menerusi Sean Gianelli yang bijak mengatasi perangkap ofsaid untuk menahan hantaran Khairul Izuan Rosli sebelum pemain yang dipinjamkan dari Kuala Lumpur City itu membuat rembatan voli menewaskan penjaga gol pelawat Azri Ghani.
Pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-74 apabila Shafiq Al-Hafiz berjaya menyudahkan bola muntah dan meletakkan UiTM selesa mendahului dengan dua gol.
Hasil kekalahan itu, skuad kendalian Chong Yee Fat kini semakin hilang punca dengan terus kekal di kedudukan tangga kedua tercorot liga dengan hanya mengumpul 13 mata selepas 18 perlawanan.
UiTM yang buat kali pertama mengutip tiga mata untuk saingan musim ini pula meneruskan sisa-sisa perjuangan untuk kekal di Liga Super dengan mengharapkan keajaiban berlaku untuk memenangi semua baki lima perlawanan musim ini.