Dua gol oleh Casagrande telah berjaya memberikan kemenangan berharga 2-1 Penang FC ke atas Melaka United dalam aksi ke-7 Liga Super, sebentar tadi.
Melaka United turun dengan dua pertukaran iaitu kemasukkan semula S. Kumaahran dan bek kiri, Che Rashid Che Halim yang tidak diturunkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana dipinjamkan daripada skuad Harimau Selatan itu musim ini.
Sementara itu, walaupun kurang gembira dengan aksi berdepan Perak FC, Tomas Trucha tampaknya masih menaruh kepercayaan kepada barisan pemain yang sama apabila mengekalkan skuad tempohari dengan menggunakan formasi 4-3-3.
Kesebelasan utama Melaka United dan Penang untuk perlawanan LS7 malam ini.
Siaran langsung di TV Okey, Sukan RTM, saluran YouTube unifi, aplikasi unifi PlayTV dan unifi tv.#MLUPEN#LigaSuper2021 pic.twitter.com/4NGO9D6Aqu
— Sukanz. (@sukanzcom) April 6, 2021
Penang bermula gementar sebagaimana aksi berdepan Perak dengan Melaka United berhasil menekan pelawat beberapa kali dalam 10 minit pertama. Mereka hampir dihukum tuan rumah seawal minit ke-2, namun rembatan Manuel Ott hasil kesilapan Khairu Azrin sekadar singgah di palang, walaupun Sam Somerville sudah tertewas.
Penang yang beraksi baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini dilihat seolah-olah mula kehilangan rentak sejak berdepan Perak di Bandaraya tempohari. Mereka banyak membuat hantaran yang sia-sia apabila mudah dipintas oleh Melaka United.
Melaka United pula mengambil kesempatan atas kegagalan lawan menyesuaikan diri segera dalam perlawanan ini dan pada minit ke-5, hantaran lintang S. Kumaahran di sebelah kanan hanya melewati depan gawang apabila gagal disambar Faris Shah.
Khairul Fahmi yang menjadi penonton mula diuji selepas 15 minit aksi berlangsung apabila Penang datang ke gawangnya dengan tandukkan Sheriddin Boboev dan rembatan lemah Al-Hafiz Harun yang berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmi.
Melaka United mengawal perlawanan dengan baik, sementara Harimau Kumbang terus bergelut mencari rentak. Walaupun telah melakukan dua percubaan, Penang sebenarnya belum stabil daripada segi permainan secara berpasukan mereka.
Di saat skuad Hang Tuah leka dibuai penguasaan permainan, Casagrande hadir untuk mengejutkan mereka dengan jaringan pembukaan menerusi rembatannya yang terbias di kaki pertahanan Melaka United seterusnya memperdaya Khairul Fahmi di minit ke-39. Lambungan Al-Hafiz Harun di dada Casagrande sebelum rembatan dibuatnya.
Empat minit babak kedua bermula, Penang berjaya meledak jaringan kedua dan sekali lagi Casagrande berjaya mencetak gol. Ia selepas lambungan Al-Hafiz Harun ditanduk tipis Sheriddin Boboev ke depan gawang sebelum disentuh mudah Casagrande menewaskan Khairul Fahmi. Itu merupakan gol ketiganya dalam dua perlawanan.
Permulaan babak kedua yang lebih meyakinkan oleh pelawat, walaupun Manuel Ott cuba mendekat jurang gol menerusi percubaan jarak jauhnya, namun ia gagal menguji sepenuhnya Bryan See Tian Keat yang menggantikan Sam Somerville di gawang.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS7#LigaSuper2021 pic.twitter.com/JTHEiHnF9D
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2021
Penyerang gantian, Stefan Nikolic berjaya mendekatkan jurang gol pada minit ke-62 selepas sepakan percuma S. Kumaahran di sebelah kiri gawang pelawat berjaya menemui kepalanya. Itu adalah jaringan dalam debutnya bersama Melaka United.
Dua minit kemudian, Stefan Nikolic hampir menjaringkan gol penyamaan, namun beliau gagal menanduk tepat hantaran lintang yang dilakukan oleh Faris Shah.
Dapat dilihat tuan rumah memanfaatkan kelemahan utama pelawat di sebelah kiri yang dikemudi kapten, Azmi Muslim yang tampil untuk aksi kedua dalam kesebelasan utama. Menariknya, mereka menggunakan bekas pemain Penang, S. Kumaahran sebagai fokal serangan di posisi itu yang jelas menjadi lubuk kelemahan pelawat.
Melaka United menggandakan asakan, namun kecemerlangan Bryan See Tian Keat berjaya menafikan ruang buat mereka untuk menyamakan kedudukan. Peluang terbaik hadir di minit ke-88 apabila gerakan Sony Norde dinafikannya di depan gol.
Penang meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas merekodkan dua keputusan seri, menyaksikan mereka belum berjaya ditewaskan oleh mana-mana pasukan selepas tewas kepada JDT pada perlawanan kedua Liga Super pada awal Mac lalu.
KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC