Terengganu FC tiada jawapan balas apabila tewas besar 1-4 kepada Penang FC dalam aksi terakhir pusingan pertama Liga Super 2021, sebentar tadi.
Kali terakhir Penang menang ke atas Terengganu di halaman lawan adalah pada musim 2008 dan hasil jaringan Sheriddin Boboev, Endrick dos Santos dan dua gol Casagrande membolehkan Harimau Kumbang melonjak ke kedudukan ke-3 liga.
Tiada perubahan dalam kesebelasan utama Terengganu apabila mereka turun dengan skuad yang sama ketika mereka menewaskan juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 1-0 pada perlawanan minggu lalu.
Penang pula membuat tiga pertukaran peamain dalam kesebelasan utama dengan kembalinya penyerang sensasi, Casagrande, selain kemasukkan semula David Rowley dan Fadhil Idris yang menggantikan Khairu Azrin yang tercedera.
Kesebelasan utama Terengganu dan Penang untuk perlawanan LS11 jam 10 malam ini.
Siaran langsung di saluran YouTube unifi, unifi tv dan aplikasi playTV.#TERPEN#LigaSuper2021 pic.twitter.com/ORplf212JP
— Sukanz. (@sukanzcom) May 1, 2021
Selepas saling berbalas serangan, Penang berjaya membuka jaringan di minit ke-8 menerusi tandukkan penyerang, Sheriddin Boboev apabila menerima bola daripada sepakan penjuru yang diambil oleh kapten, Endrick dos Santos.
Selepas 10 penampilan, itu merupakan jaringan sulungnya di Liga Malaysia. Selain itu, ini juga perlawanan pertamanya bergerak dari sebelah kanan untuk mengambil alih peranan Al-Hafiz Harun yang mengalami kecederaan minggu lalu.
Terengganu seakan-akan hanyut dengan permainan yang ditampilkan pelawat. Tiada langsung asakan berbahaya mampu dihasilkan mereka selepas percubaan pertama menerusi Makan Konate di minit ke-3 yang ditangkap kemas Bryan See.
Minit ke-21, sekali lagi bermula dengan sepakan penjuru, Penang meledak gol kedua menerusi tandukkan tipis Endrick selepas tandukkan pertama Casagrande ditepis penjaga gol, Suhaimi Husin singgah ke kaki Sheriddin Boboev.
8' Gol | Sheriddin Boboev menanduk masuk gol pertamanya musim ini!@FCTerengganu 0-1 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/4LNJc5Oy1z
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 1, 2021
Tuan rumah dilihat tiada urgency untuk memburu jaringan. Penang mempamerkan tempo sederhana dan setiap kali Terengganu cuba menjana asakan di sebelah sayap kanan, Azwan Aripin sedia menggagalkan gerakan pemain lincah, Faisal Halim.
Ada sinar kebangkitan di penghujung aksi apabila Terengganu bertubi-tubi mengasak gawang pelawat, namun Bryan See tenang menyelamatkan gawangnya. Percubaan terbaik mereka hadir menerusi tandukkan David da Silva di minit ke-43.
Nafuzi Zain membuat pertukaran di permulaan babak kedua dengan kemasukkan Faiz Nasir yang menyaksikan Faisal Halim berubah ke posisi tengah. Ia dilihat seakan-akan membuahkan hasil dengan beberapa asakan berjaya dihasilkan tuan rumah.
Antara percubaan terbaik Sang Penyu adalah menerusi dua rembatan deras oleh Hakimi Abdullah dan Dechi Marcel yang cemerlang dinafikan oleh Bryan See.
59' Gol | Rembatan Hakimi Abdullah merapatkan kedudukan untuk Terengganu FC!@FCTerengganu 1-2 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/E0ckQoVCUP
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 1, 2021
Akhirnya, selepas menekan beberapa kali benteng pelawat, Hakimi Abdullah berjaya merapatkan jurang gol menerusi rembatan deras menewaskan Bryan See di minit ke-59, berpunca daripada benteng Penang yang terlepas kawalan bola.
Sebagai respon segera, Penang meledak dua gol pantas menerusi Casagrande. Gol pertamanya dihasilkan menerusi tandukkan hasil hantaran lambung oleh bek kanan, Quentin Cheng pada minit ke-65, sebelum gol kedua terhasil tiga minit kemudian, juga menerusi tandukkan, hasil hantaran lintang pemain gantian, Danial Ashraf.
Makan Konate hampir meledak gol kedua tuan rumah, namun kecemerlangan Bryan See diteruskan apabila berjaya menepis keluar rembatan kencang tersebut.
Kemenangan terbesar Penang FC musim ini membantu mereka memintas kedudukan Terengganu di tangga ke-3, hanya satu mata dipisahkan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan dua mata dengan JDT yang menerajui takhta Liga Super.
KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC