Perak FC hampir mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT), namun akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2, di Stadium Perak, sebentar tadi.
Penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez di masa tambahan babak kedua menjadi penyelamat buat Harimau Selatan yang hampir tewas selepas tewas kali terakhir dalam saingan Liga Super pada musim 2018 kepada Kuala Lumpur.
Perak turun di gelanggang sendiri dengan dua perubahan pemain dan rombakan posisi apabila memasukkan bek kanan, Danish Haziq dan Izzuddin selain perubahan posisi penyerang, Sergio Aguero yang diletakkan di jentera tengah bersama Kenny Pallraj.
Walaupun membuat perubahan kepada jentera serangan terutamanya di sayap kiri dan kanan dengan kemasukkan Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman, JDT tetap tampil mengancam, namun kecemerlangan Hafizul Hakim banyak membantu Perak.
Hafizul Hakim menafikan sekurang-kurangnya tiga peluang yang mampu memberikan pelawat gol di babak pertama menerusi dua sepakan percuma oleh Leandro Velazquez dan rembatan rendah dari luar kotak penalti oleh Natxo Insa di minit ke-15.
Perak yang sekali sekala cuba mengatur gerak akhirnya berjaya membuat percubaan yang menghasilkan gol pembukaan perlawanan menerusi Guilherme de Paula.
De Paula akhirnya menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa sebarang jaringan pada minit ke-33 hasil kelekaan benteng Harimau Selatan. Hantaran pemain sayap kanan, Izzuddin melewati Natxo Insa dan Mauricio, menemui de Paula yang tenang menewaskan Farizal Marlias yang kali pertama diasak tuan rumah.
Perak kurang merancang gerakan ke kawasan defensive third JDT dan hanya menanti untuk menyerang balas lawan sebaik sahaja merampas kawalan bola, namun tiada penyudah yang mampu dijelmakan oleh jentera serangan mereka ke gawang lawan.
Penjaga gol tuan rumah, Hafizul Hakim terus mencuri tumpuan apabila menafikan lagi deretan peluang yang dicipta oleh JDT di babak kedua antaranya yang dilakukan oleh Natxo Insa, Bergson dan Leandro Velazquez di awal babak kedua bermula.
Kegagalan pemain sayap, Ramadhan Saifullah di babak pertama menyebabkan Benjamin Mora membuat pertukaran awal dengan memasukkan Mohamadou Sumareh untuk aksi pertamanya bersama mereka pada permulaan babak kedua.
Dan kemasukkannya berjaya menghidupkan jentera kanan serangan pelawat, namun kecemerlangan Hafizul Hakim terus menghantui JDT. Sumareh tentunya tidak kekok untuk bergandingan bersama bekas rakan sepasukannya di Pahang, Matt Davies.
Minit ke-59, de Paula sekali lagi mencetak gol buat Perak menerusi rembatan deras menewaskan Farizal Marlias. Ia bermula menerusi sepakan percuma Sergio Aguero yang menemuinya tidak dikawal sesiapa di sebelah kiri gawang pelawat.
Ketinggalan dua gol menyebabkan Sumareh dikeluarkan dan Akhyar Rashid telah dimasukkan pada minit ke-70 dalam usaha Harimau Selatan mengurangkan defisit gol. Dan ianya berhasil apabila pemain yang tampil buat kali pertama itu berjaya meledak jaringan pertama mereka lima minit selepas beliau dimasukkan.
Bermula dengan kekalutan di depan gawang tuan rumah, Akhyar Rashid cemerlang memanfaatkannya dengan rembatan kaki kiri deras untuk menewaskan Hafizul Hakim.
75' Gol | JDT merapatkan kedudukan menerusi jaringan pemain gantian, Akhyar Abdul Rashid!@peraktbgmy 2-1 @OfficialJohor #LigaSuper2021 pic.twitter.com/iSxpvR1AYU
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 21, 2021
JDT memiliki dua peluang terbaik untuk mengikat kedudukan di minit ke-84 dan ke-85, kedua-duanya menerusi Corbin Ong, namun ia telah disia-siakan oleh bek kiri skuad kebangsaan itu. Perak cuba mempertahankan keputusan yang mereka miliki.
Minit ke-90, Corbin Ong sekali lagi berpeluang untuk memberikan jaringan penyamaan buat pelawat, namun rembatan derasnya berjaya ditepis Hafizul Hakim.
Tidak mudah buat anak buah Chong Yee Fatt yang telah melalui dua perlawanan dengan kekalahan tanpa jaringan gol. Menentang JDT dengan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama, mendahului perlawanan adalah sesuatu yang positif.
Begitupun, disebabkan Rafiuddin Roddin didapati menahan bola menggunakan tangan di dalam kotak penalti, pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez dalam masa kecederaan.
Ini merupakan keputusan seri kedua direkodkan oleh JDT selepas diikat Selangor FC pada Rabu lalu, namun kedudukan mereka di persada Liga Super masih tidak tergugat selepas Terengganu FC tewas mengejut 1-2 kepada Sabah FC, sebelum itu.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST