Terengganu bakal melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2023, dalam misi mereka untuk cuba sekurangnya mencipta kejutan di laman sendiri.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, pastinya ini memberi sedikit kelebihan buat Terengganu untuk mendapat sorakan padu daripada penyokong sendiri sepanjang 90 minit aksi berlangsung.
Tambahan pula, Terengganu masih lagi segar dengan kemenangan terbaharu mereka sebelum itu ketika mereka menewaskan Perak menerusi keputusan penuh 3-0 di gelanggang lawan.
Walaupun bakal beraksi tanpa kelibat penyerang lincah tempatan mereka iaitu Syafik Ismail yang mengalami kecederaan, rata-rata pemain lain berada dalam prestasi terbaik untuk dibawa turun beraksi.
Trio serangan Terengganu musim ini iaitu Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, serta Ivan Mamut ketika ini berada pada prestasi terbaik selepas masing-masing sudah pun membuktikan ketajaman mereka dalam saingan liga.
Untuk rekod, Terengganu tewas pada aksi sulung mereka ketika bertemu JDT yang juga merupakan perlawanan Piala Sumbangsih sebelum itu menerusi keputusan 0-2 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Pastinya siri kebangkitan ingin kembali dilakar oleh Terengganu dengan pengendali mereka iaitu Tomislav Steinbruckner merancang sesuatu untuk memerangkap JDT di laman sendiri.
Walaupun menyedari kualiti pelawat pada musim ini berada dalam keadaan terbaik di segenap posisi, ianya bukan sesuatu mustahil buat Terengganu sekiranya mereka tampil dengan pelan lebih ampuh.
UNYIELDING, WE STAND STRONG
Preparations for tomorrow match against Johor.#TerengganuFC pic.twitter.com/1xeK1Mm31w
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) June 8, 2023
Musim ini menyaksikan JDT menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum merekodkan sebarang kekalahan atau seri, selepas cemerlang melalui 13 perlawanan liga dengan kemenangan.
Manakala Terengganu pula sudah pun merekodkan lima kekalahan selepas pasukan tersebut tampil tidak begitu konsisten setelah melalui rombakan pada awal musim.
Tampil dengan beberapa perubahan baharu, Terengganu dilihat mengambil sedikit masa pada awal musim untuk mengekalkan konsistensi dalam permainan selain beberapa perubahan terpaksa dibuat oleh Steinbruckner.
Namun, pasukan tersebut tampil semakin baik di segenap posisi menerusi beberapa keputusan positif dilakar, termasuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala FA 2023.
Walaupun JDT mungkin diletakkan sebagai pasukan pilihan, secara keseluruhan Terengganu masih lagi mempunyai peluang terbuka untuk sekurangnya mencipta kejutan di halaman sendiri.