Selangor terus mencatat keputusan positif dalam aksi Liga Super selepas meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Berdepan dengan pasukan yang dibelenggu masalah luar padan, ternyata skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu berada pada kelas tersendiri untuk mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.
Jaringan pertama Selangor yang dinantikan penyokong hadir pada minit ke-28 menerusi penyerang utamanya Ayron del Valle yang menyudahkan hantaran lintang Brendan Gan dari sebelah kanan.
Keputusan Cheng Hoe untuk mengeluarkan Ayron dan diganti dengan Rauf Salifu menjadi percaturan paling berharga dalam perlawanan ini selepas penyerang muda Ghana tersebut membalas kepercayaan yang diberikan.
Hanya tujuh minit selepas dibawa masuk, Rauf Salifu menggandakan kelebihan buat pasukan tuan rumah dengan menyudahkan lorongan Mukhairi Ajmal dengan satu rembatan rendah yang gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Rozaimi Rahamat.
Di hujung perlawanan, kesilapan Rozaimi Rahamat yang gagal menangkap kemas hantaran lintang Norhakim Hassan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rauf Salifu untuk mencetak gol kedua peribadinya dan memastikan Selangor selesa mendahului 3-0.
Kemenangan tersebut meletakkan Selangor naik ke tangga kedua liga dengan mengumpul 19 mata dan memintas Kedah yang tewas 6-0 kepada pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT).