Liga Super: Lontaran Padu Filemon Anyie Bantu Negeri Sembilan Elak Aib Di Laman Sendiri

Hasrat Kelantan United untuk mencipta kejutan tiga mata pertama mereka musim ini dalam aksi Liga Super 2023 tidak kesampaian, selepas pasukan tersebut diikat Negeri Sembilan menerusi keputusan penuh 3-3.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) Paroi itu, intensiti permainan antara kedua pasukan jelas sangat tinggi dengan menyaksikan enam gol terhasil sehingga wisel penamat dibunyikan.

Tiga gol Negeri Sembilan diledak Shahrel Fikri, Hafiz Ramdan, serta jaringan dramatik daripada Filemon Anyie pada penghujung masa permainan.

Manakala Kelantan United pula mendapatkan gol mereka menerusi Jose Elmer Porteria, Syazwan Zainon, serta Indra Putra Mahayudin yang menjaringkan sepakan penalti.

Awal permainan menyaksikan Negeri Sembilan begitu agresif dalam memberi tekanan buat pasukan pelawat menerusi serangan pantas dicipta bagi mendapatkan gol awal perlawanan.

Tuan rumah hampir mendapat gol awal menerusi satu hantaran lintang berbahaya daripada Mahali Jasulli, sebelum sedikit kekalutan berlaku dalam petak penalti yang berjaya dimenangi oleh penjaga gawang Kelantan United, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ke-2.

Tidak lama kemudian, tiba Kelantan United untuk cuba menguji penjaga gol tuan rumah, sebelum rembatan yang dilepaskan oleh Devid Santana sedikit melambung tinggi ke atas.

Kejutan berlaku pada minit ke-14 selepas Kelantan United berjaya mendapatkan gol pertama mereka menerusi jaringan daripada penyerang import, Jose Elmer Porteria yang tenang menewaskan Sikh Izhan, hasil daripada kesilapan sendiri pertahanan tuan rumah.

Pasukan pelawat terus melebarkan jurang gol mereka dengan kali ini tampil Syazwan Zainon untuk mencatat nama pada minit ke-33 setelah beliau bijak menerima umpanan cantik daripada Oj Porteria di sebelah kanan tuan rumah.

Akhirnya Shahrel Fikri tampil pada masa yang tepat untuk kembali merapatkan kedudukan menerusi jaringan beliau yang mudah untuk menewaskan Ahmad Asyraaf pada minit ke-36 hasil daripada situasi bola mati.

Tiada lagi gol terhasil selepas itu sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan untuk berpihak terlebih dahulu kepada Kelantan United.

Sebaik wisel separuh masa kedua bermula, pasukan tuan rumah terus meningkatkan asakan untuk cuba mendapatkan kembali gol penyamaan dengan beberapa perubahan dibuat.

Kelantan United tampil dengan intensiti permainan yang sedikit perlahan dengan lebih banyak menyerap asakan daripada pasukan tuan rumah untuk mengelak dibolosi.

Sesekali Negeri Sembilan tampil berbahaya menerusi beberapa percubaan menarik dibuat untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan yang lebih banyak bertahan.

Negeri Sembilan tampil menyamakan kembali kedudukan pada minit ke-71 menerusi pemain gantian iaitu Hafiz Ramdan menerusi satu percubaan menarik dilepaskan untuk mengelirukan pertahanan lawan.

Kelantan United mendapat kesempatan terbaik pada minit ke-78, selepas pemain import mereka dikasari oleh Safuwan Baharudin untuk memberi peluang sepakan penalti buat pelawat.

Kesempatan itu digunakan dengan sangat baik oleh Indra Putra Mahayudin menerusi satu sepakan kencang untuk menjadikan pelawat kini kembali di hadapan menerusi keputusan semasa 2-3.

Memasuki minit-minit akhir permainan, intensitu permainan terus ditingkatkan oleh tuan rumah yang jelas tidak mahu mengakhiri perlawanan ini tanpa sebarang mata.

Negeri Sembilan tampil dramatik menerusi satu jaringan lewat untuk menyamakan kedudukan pada masa tambahan menerusi lontaran dibuat oleh Filemon Anyie yang terus menerjah ke gawang gol.

Keputusan perlawanan kekal dengan kedua pasukan saling terikat seri 3-3 di Paroi dengan aksi yang ditampilkan jelas begitu sengit sejak wisel permulaan dibunyikan.

Kesebelasan utama

Negeri Sembilan: Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Penjaga gol), Che Rashid Che Halim, Tommy Mawat Bada, Annas Rahmat, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (Kapten), Levy Clement Madinda, Mahalli Jasuli, Muhammad Safuwan Baharudin, Mohamad Zamri Pin Ramli, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, Mohamad Hasbullah Abu Bakar

Kelantan United: Ahmad Asyraaf Omar (Penjaga gol), Muhammad Fauzan Mohd Fauzi, Yan Victor Silva Paixao, Jose Elmer Porteria, Abdul Latiff Suhaimi, Mohamad Fandi Othman, Devid de Santana Silva, Muhammad Syazwan Salihin, Mohd Syazwan Zainon, Indra Putra Mahayuddin (Kapten), Ariff Ar-Rasyid Ariffin

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN