Kuala Lumpur City meneruskan rekod cemerlangnya di halaman sendiri selepas menewaskan Terengganu 1-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Jaringan tunggal kapten Paulo Jouse sudah cukup untuk memastikan tiga mata menjadi milik pasukan tuan rumah yang turut melebarkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan terakhir mereka.
Kuala Lumpur sepatutnya mendahului lebih awal pada minit ke-14 apabila mendapat peluang menerusi Irfan Zakaria, namun tandukan pemain pertahanan tersebut terbias pada pemain pertahanan.
Terengganu juga berjaya menggerakkan beberapa serangan bagi mencari gol pembukaan dan jelas lebih banyak mengusai permainan pada sepauh masa pertama.
Tetapi tuah jelas milik KL City yang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-29 apabila Paulo Josue menyudahkan bola muntah hasil dari percubaan J. Parthiban yang ditepis penjaga gol pasukan pelawat Suhaimi Husin untuk memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan.
Masuk babak kedua, permainan nampak lebih seimbang buat kedua-dua pasukan dalam mengatur serangan. Namun barisan pertahanan KL City jelas beraksi dengan sangat berdisipin dan menyukarkan Terengganu untuk mendapatkan gol penyamaan.
Pada minit ke-74, Kevin Ray Mendoza cemerlang menyelamatkan percubaan Faisal Halim yang membuat rembatan kencang tepat ke arah gol tetapi penjaga gol tuan rumah itu ternyata lebih bersedia membaca arah sepakan itu.
Terengganu terus menggandakan asakan pada 10 minit terakhir bagi mendapatkan gol penyamaan termasuk membuat beberapa pertukaran pemain.
Satu demi satu peluang terhidang termasuk dua percubaan dari Hakimi Abdullah, tetapi dikecewakan kecekapan Mendoza dan pertahanan KL City yang cukup kompak di hadapan gawang mereka.
Tamat perlawanan, Kuala Lumpur ceria memperoleh tiga mata penuh di halaman sendiri untuk mengekalkan mereka di tangga keenam liga, sementara Terengganu pula gagal dalam misi mereka untuk memintas Kedah di tangga kedua walaupun memiliki kelebihan dua perlawanan.