Menakjubkan. Itulah perkataan yang boleh menggambarkan semangat luar biasa Penang yang ketinggalan dua gol dan kekurangan seorang pemain, namun berjaya bangkit untuk untuk mengikat Kuala Lumpur (KL) City dengan keputusan 2-2 dalam aksi pembukaan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu menggegar jaring menerusi kapten pasukan Paulo Josue pada minit ke-14 hasil sepakan percuma. Ia merupakan gol pertamanya untuk kelab ibu kota tersebut sebagai pemain naturalasasi negara.
Suhu perlawanan mula panas apabila lima pemain daripada kedua-dua pasukan dilayangkan kad kuning di atas kekasaran dan pertelagahan pada babak pertama.
Belum pun satu jam perlawanan berlangsung, Perak terpaksa beraksi dengan hanya 10 orang pemain apabila Namathevan diarahkan keluar padang setelah menerima kad kuning kedua akibat kesalahan mengasari Paulo Josue.
Haqimi Azim Rosli yang dibawa masuk pada minit ke-60 pantas mencipta impak terhadap barisan serangan KL City dan sempat membuat percubaan kencang tepat ke arah gol, namun diselamatkan Syafiq Afifi Suhaimi.
Paulo Josue terus menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat apabila percubaannya dari luar kotak penalti menghasilkan gol kedua buat KL City pada minit ke-71.
Namun hanya berselang satu minit, Hadin Azman kembali merapatkan kedudukan buat Penang dengan gol mudah berpunca daripada kesilapan Paulo Josue tertolak bola ke arah bekas rakan sepasukannya itu yang sudah bersedia di hadapan gol.
Gol tersebut berjaya menaikkan moral pemain Penang meskipun beraksi dengan kurang seorang pemain dan hasilnya gol penyamaan terhasil pada minit ke-85 selepas hantaran lintang Faris Shah dari sebelah kanan ditanduk kemas oleh Giovane Gomes.
Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan dan Penang berjaya pastinya gembira dengan satu mata yang dibawa pulang dan perlu bersedia untuk aksi seterusnya berdepan Negeri Sembilan pada 1 Mac ini.