Liga Super: Kedah ‘Naik Minyak’, ‘Berkandaq’ Penang FC Kena

Baddrol Bakhtiar Kedah Penang Liga Super 2021

Kedah Darul Aman FC memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan besar 4-1, menewaskan musuh ketat, Penang FC dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Kemenangan ini membolehkan mereka merapatkan jurang mata dengan Penang FC di kedudukan ke-3 liga, mengumpul 29 mata, dua mata di belakang skuad Harimau Kumbang. Kedah masih kekurangan tiga aksi selepas lima aksi mereka ditangguh.

Jika dibuat perbandingan, Kedah memiliki skuad yang lebih baik berbanding Penang FC yang majoriti dibarisi skuad kedua tanpa penyerang sensasi, Casagrande, Endrick dos Santos, Khairu Azrin Khazali, Rafael Vitor dan Ryuji Utomo dalam skuad utama.

Kedah dilihat hanya kehilangan khidmat bek tengah, Renan Alves yang digantung permainan akibat layangan kad merah ketika tewas 2-4 kepada Selangor FC.

Rentak permainan kedua-dua pasukan agak berhati-hati pada permulaannya, mungkin disebabkan padang yang sedikit basah dan lembab akibat hujan lebat di Alor Setar pada sebelah petang. Ia sedikit sebanyak memperlahanan tempo permainan.

Namun, kedua-dua pasukan saling berbalas asakan dan menghasilkan dua percubaan dalam 10 minit pertama menerusi rembatan lemah Amirul Hisyam yang mudah buat Sam Somerville dan rembatan lambung Al-Hafiz Harun yang mudah buat Ifwat Akmal.

Ifwat Akmal kembali dalam kesebelasan utama selepas hanya tampil sekali pada awal musim lalu untuk menggantikan Shahril Sa’ari yang direhatkan. Biarpun tanpa Renan Alves di benteng, beliau tetap kurang diuji oleh pasukan pelawat di babak pertama.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang hampir sama iaitu gemar bermula dari bawah dan akan membuka ke sebelah sayap ketika mula menyerang.

Untuk Kedah, mereka memiliki Syazwan Zainon dan Rabih Ataya, sementara Penang FC pula menagih kudrat Al-Hafiz Harun dan Amer Azahar di jentera sayap mereka.

Tanpa penggerak utama pasukan terutamanya kapten, Endrick, skuad pelawat dilihat seperti kehilangan arah dan tidak mampu untuk mengatur asakan berbahaya ke gawang tuan rumah. Danial Ashraf tampak bergelut untuk menghadirkan impak.

Kedah mampu meledak lima gol di babak pertama jika Baddrol Bakhtiar dan Kpah Sherman berjaya menyudahkan percubaan dengan baik, namun tiga gol yang terhasil sudah cukup untuk tuan rumah selesa memimpin perlawanan terlebih dahulu.

Dua kali Kipre Tchetche berjaya memperdaya dan melepasi kawalan kapten pelawat, Latiff Suhaimi untuk meledak dua gol menarik pada minit ke-17 dan ke-38. Baddrol Bakhtiar juga berhasil meledak satu gol pada minit ke-23 menerusi rembatan deras.

Gol pertama Kipre Tchetche adalah menerusi rembatan melencong menewaskan Sam Somerville dan gol keduanya lebih menarik apabila beliau telah membuat ‘chipping’ memperdaya penjaga gol lawan itu yang dilihat keluar meninggalkan posisinya.

Kipre Tchetche juga terlibat menghasilkan gol Baddrol Bakhtiar apabila beliau telah menewaskan Latiff Suhaimi sebelum mengumpan kemas kepada kaptennya itu.

Pasukan pelawat akhirnya berjaya mencipta jaringan pertama menerusi asakan kedua mereka. Hantaran lintang Quentin Cheng berjaya menemui David Rowley yang hanya membuat sentuhan mudah menewaskan Ifwat Akmal di penghujung babak pertama.

Permulaan babak kedua menyaksikan pengendali Penang FC, Tomas Trucha membuat tiga pertukaran dengan memasukkan Wan Faiz, Azim Rahim dan Jafri Firdaus Chew.

Namun, skuad Hijau Kuning dilihat masih bernafsu dengan mencipta banyak asakan ke gawang pelawat. Penang FC mungkin bernasib baik apabila penyudah tuan rumah tampak kurang menjadi walaupun gol mampu dilakar menerusi asakan tersebut.

Hasilnya di minit ke-55, Kpah Sherman meledak gol ke-4 apabila telah memanfaatkan hantaran lintang Rizal Ghazali sebelum menewaskan Sam Somerville di gawang gol.

Penguasaan perlawanan oleh Kedah berterusan sehingga ke penghujung perlawanan dengan Penang FC dilihat hanya bertahan agar gawang mereka tidak lagi dibolosi. Ini merupakan kali ke-4 mereka dibolosi lebih tiga gol selepas 18 perlawanan liga.

Tanpa kelibat hampir kesemua pemain import kecuali Sheriddin Boboev di posisi penyerang, skuad Harimau Kumbang jelas tempang dan serba tidak menjadi.

Kedah memanfaatkan peluang untuk kembali meraih kemenangan dalam misi mereka untuk mengejar kedudukan kedua liga yang sedang dihuni Terengganu FC saat ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN