Liga Super: Kebangkitan Umpama ‘Mat Kilau’ Berjaya Beri Sri Pahang 1 Mata Di Gelanggang Lawan

Sri Pahang berjaya mencipta siri kebangkitan yang dramatik di Stadium Hang Jebat, apabila pasukan tersebut berhasil mengikat Melaka United dengan keputusan penuh 2-2 meskipun ketinggalan dengan dua gol sebelum itu.

Pasukan kendalian Dato’ Dollah Salleh pada awalnya dilihat seolah-olah serba tidak menjadi di segenap posisi dan tuan rumah jelas mendominasi perlawanan dengan sangat bagus sepanjang permainan berlangsung.

Namun pada penghujung separuh masa kedua, skuad ini berjaya mencipta kebangkitan menerusi aksi yang lebih bertenaga bagi menghasilkan dua jaringan pada penghujung masa permainan.

Lima minit awal perlawanan berlangsung, jelas Sri Pahang menguasai permainan menerusi siri-siri serangan dilancarkan mereka untuk menekan pertahanan tuan rumah.

Melaka United hampir memperoleh gol pertama mereka pada minit ke-6 menerusi penyerang import, Ifedayo Olusegun yang mendapat hantaran cantik daripada Adriano.

Namun, rembatan Ifedayo jelas dapat dibaca oleh penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa yang cepat menepis bola tersebut untuk memberi sepakan sudut buat tuan rumah.

Intensiti permainan jelas agak tinggi dipamerkan kedua pasukan setakat ini dengan kedua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu gol awal perlawanan.

Melaka United berjaya mendapatkan jaringan pertama mereka pada minit ke-38 menerusi Ifedayo apabila beliau menerima umpanan cantik daripada Syazwan Andik di sebelah kiri.

Sri Pahang cuba memberi reaksi dengan beberapa siri serangan cuba dilancarkan untuk mencari gol penyamaan, namun pertahanan tuan rumah jelas begitu berdisiplin menyerap segala asakan pelawat.

Melaka terus memberi tekanan buat pasukan pelawat apabila mereka berhasil menambah gol kedua pada minit ke-51 menerusi rembatan cantik daripada Adriano, setelah beliau menerima hantaran cantik daripada Wan Zaharulnizam.

Sri Pahang terus tertekan untuk mendapatkan jaringan pertama mereka apabila pasukan tersebut seolah kehilangan idea untuk merencana serangan ke kubu lawan.

Pemain seperti Azam Azih dan Hidalgo dilihat gagal untuk menyumbangkan sesuatu yang lebih positif buat serangan Sri Pahang selain mengharapkan kreativiti individu sahaja.

Melaka United pula dilihat lebih bertenang setelah mereka berjaya mendahului lawan dengan dua gol, apabila mereka menurunkan intensiti sambil lebih banyak menunggu peluang menerusi serangan balas.

Saat perlawanan sudah pun menghampiri ke penamat, Sri Pahang masih lagi buntu untuk mendapatkan walau satu gol, kerana pertahanan Melaka United dilihat sangat berdisiplin.

Sebaliknya, Melaka United hampir mendapatkan gol ketiga mereka menerusi percubaan pemain gantian, Syukri Baharun yang membuat percubaan deras dari jarak jauh pada minit ke-82, sebelum terbias ke pertahanan lawan.

Pemain gantian, David Rowley berhasil merapatkan jurang dalam perlawanan apabila beliau berjaya meledak gol pada minit ke-87 untuk meleburkan hasrat Bryan See mencatat keputusan tidak bolos perlawanan ini.

Sri Pahang kembali menyamakan kedudukan menerusi kebangkitan lewat yang dicipta hasil ledakan pemain gantian, Sharul Nizam pada minit ke-90 untuk meletakkan kedudukan semasa 2-2.

Keputusan perlawanan kekal dengan Melaka United terpaksa menerima hakikat akan kebangkitan yang dicipta pelawat dengan keputusan penuh permainan 2-2.

Kesebelasan utama

Melaka United: Tian Keat See (Penjaga gol), Mikel Justin Cagurangan Baas, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Emmanuel Oti Essigba, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi, Muhammad Fadhil Idris, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Adriano Aparecido Narcizo, Mohamad Hasbullah Abu Bakar (Kapten pasukan), Mohamad Fadhli Mohd Shas

Sri Pahang: Mamadou Samassa (Penjaga gol), Kevin Langbehn Ingreso, Andres Steven Rodriguez Ossa, Abdul Malik Mat Ariff, Muhamad Baqiuddin Shamsudin, Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Mohamad Muslim Ahmad (Kapten pasukan), Mohamad Azwan Mohd Aripin, Sherzod Fayziev Naimovich, Manuel Federico Hidalgo Gasparini

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN