Selangor akhirnya terjaga dari ‘mimpi indah’ selepas tewas 3-1 kepada Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mengakhiri kebangkitan mereka sejak dikendalikan ketua jurulatih interim Nidzam Jamil.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu ternyata cukup ampuh di gelanggang sendiri untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk membolehkan skuad Sang Kenari memperbaiki kedudukan di saingan liga.
Gol pertama Kedah terhasil menerusi situasi set-pieces apabila sepakan percuma Mahmoud Al Mardi berjaya disudahkan oleh Ronald Ngah Wanja dengan satu tolakan mudah pada minit ke-22.
Pada minit ke-30, Selangor sekali lagi dihukum akibat kelekaan barisan pertahannya dalam situasi bola mati apabila gol kedua pasukan tuan rumah terhasil menerusi tandukan Marc Vales.
Pemain import dari Andorra tersebut bijak menyambut tandukan Ronald Ngah Wanja ketika penjaga gol Sam Somerville gagal untuk menguis bola keluar.
Tetapi hanya tiga minit kemudian, Selangor kembali menghidupkan perlawanan dengan merapatkan kedudukan hasil jaringan penyerang utamanya Herlison Caion hasil dari hantaran Hein Htet Aung.
Pada babak kedua, Selangor mungkin perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal menyudahkan deretan peluang keemasan untuk mendapatkan gol penyamaan. Kedah juga memiliki dua peluang terbaik menerusi Mahmoud Al Mardi untuk melebarkan kelebihan.
Ketika perlawanan bakal ditamatkan pada minit-minit akhir, kuisan Mahmud Al Mardi kepada Fayadh Zulkifli disudahkan dengan cukup sempurna untuk menghadiahkan gol ketiga untuk memastikan tiga mata di dalam genggaman Kedah.
Kemenangan Kedah itu meletakkan mereka di tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 27 mata selepas 17 perlawanan untuk menjadikan saingan bagi merebut kedudukan tiga terbaik.
Selangor pula yang sudah menghadapi 18 perlawanan sekadar kekal di tangga kelapan dengan 20 mata terkumpul setakat ini.