Kelantan memulakan langkah pertama mereka dalam saingan Liga Super 2023 dengan negatif, selepas mereka tewas di tangan pasukan pelawat iaitu Kuching City dengan keputusan penuh 1-2.
Beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan jelas gagal memanfaatkan kelebihan di laman sendiri untuk mencipta keputusan positif biarpun mendapat sorakan daripada ribuan penyokong The Red Warriors.
Kuching City FC bangkit meraih kemenangan pada “debut” di pentas Liga Super.#LigaSuper2023 pic.twitter.com/bow3zEcduB
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 25, 2023
Perlawanan ini jelas menjadi milik penyerang Kuching City iaitu Abu Kamara, selepas beliau terlibat dua kali dalam aksi kebangkitan mereka di gelanggang lawan untuk atasi Kelantan.
Dalam aksi itu juga, Kuching City jelas lebih mendominasi perlawanan dan bijak memanfaatkan banyak peluang untuk mencipta sesuatu di hadapan gawang gol tuan rumah.
Biarpun berkelebihan dengan gol awal perlawanan pada separuh masa kedua menerusi bintang import mereka iaitu Miguel Cifuentes, Kelantan gagal mempertahankan keputusan tersebut dengan aksi dipamerkan juga sedikit merudum.
Kuching City pula sebaliknya meningkatkan intensiti perlawanan setelah menyedari mereka ketinggalan untuk menekan pertahanan Kelantan di pelbagai arah.
Hasilnya, Abdallah Sudi berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi umpanan cantik daripada Abu Kamara untuk menewaskan Mohamad Rozaimi Rahamat pada minit ke-59.
Kerja keras Abu Kamara sekali lagi dilihat berbaloi, selepas giliran beliau pula untuk mendapatkan gol pendahuluan buat Kuching City terus selesa di hadapan pada minit ke-72.
Keputusan perlawanan kekal tamat dengan Kuching City berjaya meraih kemenangan pertama mereka di gelanggang lawan untuk mengutip tiga mata penuh mengatasi Kelantan.
Kelantan pula perlu tampil dengan lebih baik untuk perlawanan akan datang, selepas segala pergerakan mereka jelas mudah dibaca oleh pasukan.
Apapun, suatu persoalan terlintas ketika ini untuk mempertikaikan kekalahan Kelantan di laman sendiri berfaktor daripada pemilik kelab tersebut, Norizam Tukiman (Zamsaham) yang mendedahkan sendiri formasi pasukan miliknya di media sosial.
Zamsaham sebelum itu telah pun mendedahkan formasi yang akan digunakan Kelantan di Facebook beliau dengan lebih awal sebelum perlawanan bermula.
Ianya mungkin memberi ruang buat Kuching City untuk menyedari lebih awal serta membuat rencana terbaharu untuk mengatasi taktikal diterangkan oleh Zamsaham.
Untuk aksi seterusnya, Kelantan bakal berdepan cabaran getir berdepan Sri Pahang, manakala Kuching City akan membuat perhitungan bersama Selangor.
Kesebelasan utama
Kelantan: Mohamad Rozaimi Rahamat (Penjaga Gol), Muhammad Ghaffar Abdul Rahman, Mario Arques Blasco (Kapten), Nuha Marong Krubally, Miguel Angel Garrido Cifuentes, Eui Chan Kang, Muhammad Faiz Mazlan, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman, Christian Mangaron Rontini, Gerald Gadit, Muhammad Afzal Akbar
Kuching City: Norazlan Razali (Penjaga Gol), Celio Ferreira dos Santos, Sirojiddin Kuziev, Abu Kamara, Muhammad Adam Shreen Tambi (Kapten), Amir Amri Salleh, Zahrul Niezwan Joe Kifli @ Zulkeflee, Mohd Qayyum Marjoni Sabil, Arham Khussyairi Ab Wahab, Aylton Ferreira Ananias, Abdallah Sudi