Nasib buruk Sri Pahang nampaknya masih belum berakhir setelah tewas 2-0 kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Dua gol pada setiap separuh masa itu memberikan kekalahan keenam skuad kendalian Dollah Salleh itu pada musim ini dalam saingan Liga Super.
Selepas berusaha melakukan beberapa percubaan awal, gawang Sri Pahang akhirnya bocor pada minit ke-23 hasil jaringan Leandro Velezquez dan mudah merembat masuk gol pertama perlawanan hasil gerakan dan hantaran cantik Bergson dan sentuhan Afiz Fazail.
Keadaan menjadi kecoh buat seketika apabila Gonzalo Cabrera didapati menyentuh pengadil kerana tidak berpuas hati rakan sepasukannya Bergson da Silva diberikan kad kuning.
Kemudian giliran pemain import dari Argentina itu pula dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil untuk tidak memberikan sepakan penalti walaupun mendakwa bola terkena tangan pemain Sri Pahang di dalam kotak.
Awal babak kedua, JDT dilihat semakin selesa mendominasi permainan dengan bertukar-tukar hantaran sesama pemain dalam merencanakan serangan dan sesekali menguji barisan pertahanan Sri Pahang.
Bagaimanapun pasukan tuan rumah juga memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan, namun dikecewakan dengan ketumpulan penyudah
Tekanan Sri Pahang semakin memuncak kerana terpaksa bermain dengan 10 orang pemain pada minit ke-69 selepas pemain pertahanannya, Ezanie Mat Saleh mengutip kad kuning kedua kerana membuat terjahan lewat ke atas Gonzalo Cabrera.
Bergson menambah gol kedua JDT selepas menerima umpanan pemain gantian Nazmi Faiz Mansor pada masa kecederaan. Ia merupakan gol kesembilan pemain import dari Brazil itu pada musim ini.
Dengan kekalahan terbaharu ini, Sri Pahang kekal di tangga kedua tercorot dengan hanya mengumpul lima mata sahaja selepas sembilan perlawanan, sementara JDT pula terus mengukuhkan kedudukannya di persada liga dengan kelebihan tujuh mata.
Kredit Foto: Johor Southern Tigers
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Janganlah Buat ‘Lecey’, Penyokong Penang Perlu Belajar Terima Teguran