Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak konsisten mereka dalam saingan Liga Super, dengan kali ini mereka menjadikan Selangor sebagai lubuk tiga mata menerusi kemenangan 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Awal perlawanan menyaksikan kedua pasukan saling seimbang bertukar hantaran dengan tiada sebarang percubaan terhasil menuju ke penjaga gol masing-masing.
Ali Olwan hampir meledak gol sulung buat Selangor, apabila gerakan beliau berjaya menewaskan dua pertahanan pelawat sebelum satu percubaan tepat kepada Syihan Hazmi untuk menepisnya.
Kelincahan serta kepantasan Arif Aiman jelas memberi kesukaran buat Zikri Khalili untuk mengawal beliau dengan pemain Harimau Malaya itu licik membawa bola ke dalam petak penalti di sebelah kanan.
Intensiti permainan juga sedikit panas, dengan berlaku kekasaran membabitkan pemain kedua pasukan di tengah padang, sebelum ia ditenangkan oleh pengadil bertugas.
Selepas 15 minit aksi berlangsung, kedua pasukan tampaknya masih lagi mengalami kesukaran untuk mendapatkan jaringan sulung dengan bola jelas lebih banyak berlegar di tengah padang.
Setakat ini, dua pemain JDT sudah pun dilayangkan kad kuning kerana kekasaran dilakukan ke atas Ali Olwan serta Yohandry Orozco walau aksi masih lagi dianggap awal.
JDT akhirnya memperoleh jaringan sulung mereka menerusi ledakan penyerang naturalisasi Malaysia iaitu Romel Morales pada minit ke-29 yang mudah menanduk untuk mengatasi Azim Al Amin daripada situasi sepakan percuma.
Sebelum separuh masa pertama tamat, penyerang import JDT dari Brazil berjaya meledak gol kedua buat pelawat dengan larian deras beliau mudah mengatasi cabaran pertahanan Selangor pada minit ke-44.
Di separuh masa kedua, JDT memperoleh sepakan penalti selepas Arif Aiman dijatuhkan oleh Abualnadi dan ia mudah disempurnakan oleh Bergson untuk meletakkan pelawat 3-0 pada minit ke-54.
Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan berpihak buat pelawat menerusi keputusan 3-0 di gelanggang lawan bersama aksi cukup menyakinkan.
Kesebelasan Utama
Selangor: Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin (Penjaga Gol), Quentin Cheng Jiun Ho, Mohammad Majed Jamel Abualnadi, Nooa Hamzah Laine, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Yohandry Jose Orozco Cujia, Nikola Jambor, Sharul Nazeem Zulpakar, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, Ali Iyad Ali Olwan, Umarbek Eshmurodov Yusuf Ugli (Kapten)
JDT: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Penjaga Gol), Bergson Gustavo Silveira da Silva, Junheong Park, Muhamad Feroz Baharudin, Iker Undabarrena Martinez, Romel Oswaldo Morales Ramirez, Juan Muniz Gallego, Eddy Silvestre Pascual Israfilov, Oscar Pasero Arribas, Ignacio Insa Bohigues (Kapten), Arif Aiman Hanapi
Foto: Shah Amirul Semuanya BOLA