Jaringan tunggal perlawanan oleh Park Tae-su pada minit ke-25 perlawanan memastikan Sabah FC menang 0-1 ke atas Melaka United di dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi.
Kemenangan tersebut turut membenarkan Sabah FC melonjak ke kedudukan ke-3 Liga Super Malaysia (MSL) selepas tiga perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Melaka United jelas bergelut di jentera serangan selepas kehilangan khidmat dua penyerang import, Olusegun Ifedayo dan Adriano Narcizo akibat kecederaan.
25' GOL | Park Tae-su meletakkan Sabah FC di depan!@MelakaUnitedFC 0-1 @SabahFCofficial #LigaSuper2022 pic.twitter.com/2yJYIZsFMP
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 5, 2022
Sabah FC berpeluang berada di hadapan seawal minit ke-16 perlawanan, namun tandukan Dominic Tan yang berpunca daripada sepakan sudut kapten pasukan Baddrol Bakhtiar tinggi melepasi palang.
Percubaan Tommy Mawat juga melalui tandukan dua minit selepas itu juga tersasar.
Kesilapan pasukan tuan rumah selepas itu mengundang padah apabila Park Tae-su bijak menghidu peluang yang terhidang sebelum merembat leret ke sebelah kiri gawan, menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.
📹 HIGHLIGHTS: @MelakaunitedFC 0-1 @SabahFCofficial
Sabah memperolehi kemenangan kedua musim ini hasil gol Park Tae-su pada babak pertama.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/ug5kUVxffz
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 5, 2022
Sabah terus mendominasi perlawanan dengan permainan kemas dan hampir melebarkan kedudukan selepas itu melalui pemain perancang dari Jepun, Taiki Kagayama pada babak akhir separuh masa pertama, namun berjaya dinafikan oleh Norazlan.
Ketua jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic melakukan tiga pertukaran pada awal babak kedua perlawanan dalam usaha mengubah arus perlawanan.
Perubahan itu berjaya memberi tekanan kepada Sabah sehingga menyaksikan Sony Norde hampir berjaya menyamakan kedudukan sebelum tandukannya melepasi palang.
📊 KEDUDUKAN – LS3#LigaSuper2022 pic.twitter.com/P9hOIdqrR0
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 5, 2022
Peluang keemasan Melaka untuk menemui jaringan hadir pada minit ke-60 perlawanan apabila sepakan percuma Sony muntah ditepis oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Sepakan susulan oleh Shahrul Azwari Ibrahim selepas itu bagaimana pun tinggi melepasi palang.
Kekalahan terbaru ini bermakna Melaka United belum merekodkan sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan MSL yang mereka lalui, dan menduduki kedudukan ke-9 MSL.