Pemain muda Selangor, Sharul Nazeem akhirnya membuka akaun jaringannya pada musim ini selepas menyumbang gol pembukaan ketika menewaskan UiTM 2-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsugn di Stadium UiTM, Shah Alam.
Selangor yang masih segar dengan kemenangan 4-1 ke atas Penang tempoh hari turun dengan melakuan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama, namun masih mengekalkan gandingan Ifedayo Olusegun dan Hein Htet Aung untuk mengemudi bahagian serangan.
Selangor terlebih dahulu di depan pada minit ke-24 hasil jaringan Sharul Nazeem yang bermula dengan sepakan percuma rendah Oliver Buff ke dalam kotak penalti.
Pemain berusia 21 tahun yang dipanggil ‘Afro’ itu pantas menyambar bola dengan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol tuan rumah Zamir Selamat.
5 minit selepas bermula babak kedua, satu gerakan solo menarik yang dilakukan oleh Sean Gianelli nyaris memberikan gol penyamaan untuk UiTM dalam situasi satu lawan satu, namun Khairul Azhan ternyata cukup berpengalaman untuk menafikan percubaan tersebut.
Selangor menambah jaringan menerusi Ifedayo Olusegun pada minit ke-57 hasil hari gerakan berpasukan yang cukup menarik membolehkan penyerang sensasi itu menjaringkan gol ke-17 peribadinya musim ini.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan tiga mata yang diperolehi Selangor masih belum mampu untuk mengubah kedudukan mereka dalam liga.
Selangor kini menyamai 26 mata milik Kedah, namun pasukan dari utara itu masih mempunyai empat perlawanan dalam tangan.