Mungkin inspirasi kemenangan Liverpool ke atas Manchester United, Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Negeri Sembilan FC 7-0, sebentar tadi.
Dua gol di babak pertama dan lima gol di babak kedua menceritakan dominasi penuh juara Liga Super sembilan tahun berturut-turut itu. Ia juga kemenangan terbesar mereka dalam kempen musim ini setakat ini.
Terdapat beberapa perkara yang menarik untuk perlawanan ini antaranya ketiadaan Bergson da Silva, Levy Madinda dan Herold Goulon selain kelibat Sikh Izhan Nazrel di gawang Negeri Sembilan selepas terpaksa dikejarkan ke hospital akibat pelanggaran dengan pemain Penang FC pada Sabtu lalu.
JDT hadir dua kali dalam tempoh 10 minit permainan menerusi hantaran lintang Corbin Ong yang gagal disambut Diogo di minit ke-4 dan tandukkan tipis Corbin yang cemerlang ditepis oleh Sikh Izhan tiga minit kemudian.
Biarpun tanpa Goulon yang tidak diturunkan untuk aksi ini, barisan benteng tuan rumah tampil tenang menyerap setiap asakan pelawat yang diketuai Diogo, Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez.
Masalah utama mereka adalah untuk berdepan dengan deretan situasi bola mati yang mampu mengundang bahaya ke atas gawang mereka. Minit ke-18, sekali lagi Sikh Izhan tampil tangkas menepis tandukkan Diogo yang menerima hantaran Forestieri berpunca daripada sepakan penjuru.
Tiga minit berselang, akhirnya gawang kebal The Jangs bocor jua selepas Forestieri menanduk deras sepakan percuma yang diambil oleh Leandro.
Rentak perlawanan di babak pertama agak sederhana apabila JDT dan Negeri Sembilan lebih tenang mengatur asakan dengan penguasaan permainan dimiliki oleh pelawat. Corbin menjadi fokal serangan pelawat.
Sementara untuk tuan rumah, mereka sukar untuk melepasi kawasan ‘middle third’ JDT yang tampil utuh dan stabil sepanjang babak pertama. Mereka pastinya terasa kehilangan Madinda yang tidak boleh beraksi.
Minit ke-35, Casagrande telah berjaya menggamatkan stadium apabila melepaskan rembatan deras yang tidak menggugat penjaga gol, Syihan Hazmi. Itu percubaan pertama Negeri Sembilan ke gol Harimau Selatan.
Akhirnya Diogo kembali membuka akaun di Liga Malaysia selepas kembali semula menyertai JDT pada musim ini. Minit ke-41, beliau membuat ‘volley’ menarik untuk menewaskan Sikh Izhan. Kali terakhir beliau meledak gol di Malaysia adalah sekitar Oktober 2020 ketika mengatasi Sabah FC 4-1.
Forestieri memanfaatkan sepakan penalti yang diperolehi Harimau Selatan untuk jaringan kedua peribadinya dan ketiga buat JDT pada minit ke-49.
Hasil gerakan menarik JDT ke kawasan ‘defensive third’ Negeri Sembilan membuahkan hasil apabila Arif menyudahkan hantaran leret Diogo di depan gawang untuk menewaskan Sikh Izhan buat gol ke-4 pada minit ke-53.
Lima minit kemudian, tampanan Matt Davies hampir memperdaya Syihan di gawang sendiri berpunca daripada sepakan percuma oleh Negeri Sembilan.
Bek sayap kiri, Corbin akhirnya meledak gol buat Harimau Selatan dalam perlawanan ini menerusi tandukkan mudah di depan gawang di minit ke-67.
Minit ke-70, Sikh Izhan membuat ‘double saves’ hasil percubaan oleh Forestieri dan Endrick sebelum dua minit kemudian Endrick menebus kekecewaannya dengan mencipta jaringan ke-6 buat pasukan pelawat.
Minit ke-88, Corbin sekali lagi melakar nama sebagai penjaring selepas memanfaatkan bola yang cuba dikeluarkan kurang kemas oleh benteng.
Layak digelar inspirasi Liverpool, JDT meneruskan rentak kemenangan dengan cemerlang musim ini dan menariknya masih belum dibolosi.