Liga Super: Ini 5 Pemain Import Paling Menyerlah Awal Musim 2022

Sedar tak sedar, perjalanan untuk saingan Liga Super musim 2023 ini sudah pun menghampiri pertengahannya dengan kini jendela perpindahan kedua telah dibuka untuk mana-mana pasukan membawa masuk tenaga pemain baharu dalam pasukan.

Ditambah dengan perjalanan liga berhenti seketika untuk memberi laluan buat skuad kebangsaan beraksi di pentas antarabangsa, nyata ia memberi peluang buat pengurusan setiap kelab kembali mengkaji kelemahan dan kekuatan masing-masing.

Sepanjang saingan liga berlangsung, kita disajikan dengan pelbagai aksi menarik daripada para pemain setiap kelab terutama sebahagian import yang amat menyerlah di posisi masing-masing.

Ini ada lima pemain import yang dianggap sangat menyerlah bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M)

Fernando Forestieri

Bekas penyerang Udinese ini boleh dianggap sebagai salah satu import paling berbaloi pada awal musim ini apabila beliau cepat menyesuaikan diri dengan suasana liga tempatan dan memahami corak permainan diingini pasukan.

Tampil sebagai salah seorang import termahal musim ini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), nyata Forestieri mempamerkan karakter sangat positif sepanjang waktu beliau diturunkan.

Pemain tersebut juga menjadi tonggak utama untuk membantu kelabnya melepasi pusingan peringkat kumpulan dalam kejohanan ACL musim ini.

Herold Goulon

Pemain pertahanan Negeri Sembilan ini tidak perlu diperkenalkan lebih mendalam lagi kerana beliau sebelum itu pernah menyarung jersi Sri Pahang untuk beberapa musim sebelum menyertai juara Liga Premier 2021 itu.

Bersama Negeri Sembilan, tampil Goulon selaku penjaring terbanyak buat kelab tersebut disamping menjadi salah satu asbab punca mengapa skuad kendalian K. Devan itu kebal di benteng pertahanan.

Kombinasi permainannya bersama Khuzaimi Piee nyata banyak menghampakan serangan lawan daripada melepasi zon pertahanan Negeri Sembilan.

Ronald Ngah Wanjah

Kedah Darul Aman musim ini dilihat membuat rombakan sepenuhnya di bahagian serangan apabila menandatangani dua penyerang import untuk memperkukuhkan posisi tersebut.

Ngah Wanjah yang sebelum itu hadir selaku bekas penjaring terbanyak di Jordan Premier League bersama Al-Salt SC nyata menjadi antara pembelian terbaloi kelab tersebut musim ini.

Tampil dengan fizikal yang besar serta kualiti penyudah yang tajam, kelibat Ngah Wanjah sering menjadi perhatian para penyokong Sang Kenari sepanjang aksi beliau diturunkan.

Taiki Kagayama

Pemain yang berasal dari Jepun ini mula menyertai Sabah pada awal musim setelah sebelum itu beraksi bersama Inter Turku dalam saingan Veikkausliiga di Finland.

Kelibat beliau di atas padang boleh dianggap sangat berbahaya buat pasukan lawan kerana kelicikan pemain ini mengawal bola dar kawasan tengah serta berkebolehan tinggi melepaskan sepakan deras dari jarak jauh.

Kagayama juga menjadi pemain penting dalam sistem kejurulatihan Datuk untuk menjana serangan dalam pasukan kerana mobiliti tinggi yang ada pada pemain tersebut.

Manuel Hidalgo

Perancang utama buat Sri Pahang ini mula menyertai kelab tersebut pada pertengahan musim lalu untuk terus meninggalkan impak positif dalam permainan dek kerana kualiti permainnya bermutu tinggi.

Dalam apa jua siri serangan dilancarkan oleh Sri Pahang, maka Hidalgo akan menjadi kunci utama untuk menggerakkannya menerusi kualiti hantaran dan kelicikan pemain ini untuk melepasi sekatan lawan.

Kebolehan Hidalgo ini sering menyukarkan mana-mana pasukan lawan kerana beliau mempunyai daya stamina tinggi, visi yang bagus, serta kreatif bersama Azam Azih.

Kesimpulan

Tidak semua pemain import yang beraksi dalam saingan Liga M dianggap bagus. Ada juga pasukan kini sudah pun mula sibuk untuk menggantikan pemain baharu setelah kesilapan dibuat pada awal musim.

Dalam hal ini, pasukan pemantau bagi setiap kelab perlu memainkan peranan selain kelibat jurulatih itu sendiri melihat kesesuaian pemain import tersebut dalam taktikal yang ingin direncana.

Apapun, semoga setiap pasukan yang kini giat menandatangani import baharu agar tidak terlalu boros dan mengkaji dengan lebih terperinci terlebih dahulu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN