Nama Teddy Sheringham mengingatkan kita mengenai jaringan penyamaan dramatik yang dilakukan beliau pada minit ke-91 ketika bertemu Bayern Munich dalam saingan akhir Liga Juara-Juara Eropah 1999 di Nou Camp.
Selepas 18 tahun aksi dramatik yang dimenangi Manchester United itu berlalu, Sheringham kini dilantik menjadi Ketua Jurulatih Atletico De Kolkata (ATK) yang kini bersaing di Liga Super India.
Beliau menggantikan Jose Francesco Molina yang telah memberikan kejuaraan liga pada musim lalu buat pasukan yang dikenali sebagai The Bengal Tigers ini.
Sheringham yang berusia 51 tahun berjaya memenangi 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bersama Manchester United sebagai pemain.
Kelab yang beraksi di English League Two, Stevenage merupakan kelab pertama yang diuruskan oleh beliau selama 8 bulan sebelum meninggalkan pasukan tersebut pada Februari 2016.
Pengalaman yang dimiliki Sheringham beraksi bersama Manchester United, Tottenham Hotspur dan West Ham United diharapkan dapat membantu Atletico De Kolkata memburu kejuaraan liga ke-3 dalam tempoh 4 tahun.
”Salah seorang penjaring gol terbaik dan merupakan pemain yang luar biasa, saya mengharapkan Teddy membawa perancangannya bagi memimpin jalan buat ATK,” kata pemilik kelab, Sanjiv Goenka yang juga merupakan ketua RP-Sanjiv Goenka Group, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Sheringham begitu teruja dengan peluang yang dimilikinya kini.
”Saya gembira menyertai ATK dan tidak sabar untuk memulakannya.”
”Sanjiv Goenka menceritakan kepada saya mengenai Liga Super India dan ia merupakan satu tempat yang menarik untuk merealisasikan impian dan cita-cita anda dalam bola sepak.”
Sementara itu Steve Coppell yang juga merupakan bekas pemain Manchester United dilantik menjadi ketua jurulatih Jamshedpur Football Club dan bekas penolong jurulatih United, Rene Meulensteen bakal membawa cabaran Kerala Blasters.
Sumber
Skysports (2017) – http://www.skysports.com/football/news/11095/10949361/teddy-sheringham-appointed-coach-of-atletico-de-kolkata
The Straits Times (2017) – http://www.straitstimes.com/sport/football/football-sheringham-joins-isl-as-kolkata-coach