Hujan lebat sejak awal permainan di Alor Setar seolah-olah memberi petanda yang Kedah Darul Aman FC bakal menangisi kekalahan 2-4 kepada Selangor FC.
Kehilangan pertahanan, Renan Alves akibat layangan kad merah menyaksikan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama hampir sejam. Begitupun, Kedah tetap memberi cabaran dalam aksi pertama mereka selepas ‘berehat’ panjang.
Kedah terlebih dahulu dilihat merencana beberapa gerakan ke kubu pelawat di awal babak pertama, namun tiada produk akhir yang mampu dicipta jentera serangan tuan rumah yang diketuai oleh Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Rabih Ataya.
Selepas 10 minit barulah Selangor berjaya mencatur asakan ke defensive third Kedah. Dan pada minit ke-12, akhirnya The Red Giants yang berjaya membuat percubaan pertama perlawanan, namun ia gagal disudahkan oleh Norhakim Hassan.
Hujan lebat yang membasahi padang menyaksikan rentak perlawanan lebih berhati-hati dipamerkan oleh kedua-dua pasukan. Walaupun Kedah mempunyai sentuhan yang baik menjana asakan, namun sentuhan di kawasan final third mengecewakan mereka.
Selangor melonjak kegembiraan terlebih dahulu apabila Danial Asri meledak gol pembukaan di minit ke-18, tetapi beliau dikesan berada dalam kedudukan offside.
Akhirnya tuan rumah membuka jaringan menerusi Kpah Sherman yang menyudahkan gerakannya bersama Kipre Tchetche dengan rembatan lencong menewaskan Sikh Izhan Nazrel yang tampil buat kali pertama untuk Selangor pada minit ke-24.
24' Gol | Gerakan satu dua antara Tchetche Kipre dan Kpah Sherman menghasilkan gol pertama Kedah Darul Aman FC!@kda_fc 1-0 @selangorfc #LigaSuper2021 pic.twitter.com/cGvBCOrU1B
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 13, 2021
Kegembiraan Kedah tidak bertahan lama apabila asakan pelawat di minit ke-27 memberikan mereka sepakan penalti selepas Renan Alves dikesan menggunakan tangan menahan rembatan penyerang sensasi Selangor, Ifedayo Olusegun.
Renan Alves dilayangkan kad merah dan Ifedayo Olusegun berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk membolehkan Selangor mengikat kedudukan.
Beraksi 10 pemain menyaksikan skuad Hijau Kuning sukar untuk mengawal tempo perlawanan dan Selangor mengambil kesempatan untuk memberikan lebih tekanan.
28' & 30' Gol | Ifedayo Omosuyi menyamakan kedudukan sebelum Danial Asri meletakkan Selangor FC di depan!@kda_fc 1-2 @selangorfc #LigaSuper2021 pic.twitter.com/cjm8vSE8hd
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 13, 2021
Kedah tersentak apabila penyerang muda, Danial Asri berjaya meledak gol kedua pelawat dua minit kemudian selepas menyambar hantaran lintang Hein Htet Aung.
Selangor terus menerus menekan Kedah yang dilihat seolah-olah kehilangan arah beraksi kekurangan seorang pemain. Suhu sejuk hujan tidak sama dengan dengan suhu perlawanan yang kian panas buat tuan rumah yang acapkali ditekan.
Disebalik tekanan demi tekanan, mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-44 menerusi tandukan lambung Anumanthan Mohan selepas tumbukan kurang kemas Sikh Izhan tiba kepadanya untuk mencipta gol kedua Kedah.
44' Gol | Kedah Darul Aman FC menyamakan kedudukan menerusi tandukan Anumanthan Kumar!@kda_fc 2-2 @selangorfc #LigaSuper2021 pic.twitter.com/EXXy0fob1d
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 13, 2021
Pengendali Kedah, Aidil Sharin membuat percaturan baharu dengan mengeluarkan Rabih Ataya dan memasukkan Fadzrul Danel bagi mengimbangi pasukan.
Kemampuan Fadzrul Danel untuk berada di jentera serangan disamping membantu benteng pertahanan ketika bertahan diperlukan oleh tuan rumah. Ini tampak sedikit berhasil apabila mereka dilihat kurang diasak oleh pelawat di babak kedua.
Namun, kecenderungan Selangor adalah menggunakan bek sayap kanan dan kapten, Syahmi Safari dalam membuat hantaran akhir ke dalam kotak penalti Kedah.
The Red Giants hampir kembali di depan pada minit ke-50 dan ke-60 menerusi dua percubaan oleh pemain tengah, Oliver Buff dan bek kiri, Jordan Ayimbila, namun kedua-duanya gagal memanfaatkan peluang untuk meletak Selangor selesa di depan.
90+2' Gol | Ifedayo melengkapkan hatrik keduanya musim ini!@kda_fc 2-4 @selangorfc #LigaSuper2021 pic.twitter.com/EWjxCgZUrl
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 13, 2021
Hasil lorongan kemas oleh Hein Htet Aung membantu Ifedayo Olusegun meledak jaringan ketiga pelawat dan jaringan ke-19 peribadinya dalam saingan liga di minit ke-74. Walaupun dikawal dua pemain, beliau masih tenang membuat percubaan.
Di penghujung perlawanan, pemain gantian, Azamuddin Akil hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang berjaya ditepis oleh Sikh Izhan.
Akhirnya, Ifedayo Olusegun melengkapkan hatriknya, selepas melepasi perangkap offside yang dibuat tuan rumah di penghujung perlawanan untuk mudah menewaskan Shahril Sa’ari di gawang tanpa cabaran daripada pemain-pemain pertahanan.
Kemenangan ini menyaksikan Selangor memintas kedudukan Kedah di tangga ke-4 Liga Super dengan 29 mata, tiga mata di depan mereka. Namun Kedah kekurangan empat perlawanan, sementara Selangor sudah beraksi dalam 18 perlawanan.