Liga Super: Hatrik Bergson Bantu JDT Untuk ‘Belasah’ Melaka United

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan karakter mereka untuk terus menjadi calon juara Liga Super 2022, setelah dilihat tidak bermasalah untuk menewaskan Melaka United dengan keputusan 4-0.

Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), jelas JDT dilihat selesa mendominasi sepanjang 90 minit perlawanan untuk memaksa lawan lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Bergson da Silva tampil menonjol pada perlawanan ini apabila pemain tersebut berjaya meledak hatrik bagi mengukuhkan posisi semasa beliau selaku penjaring terbanyak Liga Super 2022.

Tiga jaringan Bergson sebentar tadi telah meletakkan penyerang dari Brazil itu berjaya mengumpul 20 gol keseluruhan setakat ini bersama JDT dalam aksi Liga Super.

Selepas lima minit perlawanan berlangsung, JDT jelas mempamerkan penguasaan bola yang sangat baik untuk terus mengasak pelawat menerusi siri-siri serangan dilancarkan.

Leandro Velazquez terlebih dahulu mendapat peluang untuk menguji Bryan See pada minit ke-6 menerusi satu percubaan deras dari luar kotak penalti, sebelum berjaya ditepis dengan baik oleh penjaga gol tersebut.

JDT berjaya memperoleh gol pertama mereka untuk meletakkan mereka terlebih dahulu di hadapan menerusi Fernando Forestieri pada minit ke-13, setelah rembatan deras beliau dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Bryan See.

Melaka United terus tertekan apabila tidak banyak dapat dilakukan oleh mereka selain lebih banyak bertahan di kawasan sendiri untuk mengelakkan gawang gol mereka daripada terus dibocori tuan rumah.

Sesekali pelawat cuba untuk melakukan serangan balas, namun pergerakan mereka nyata mudah dibaca oleh pertahanan tuan rumah yang cepat mematikan langkah tersebut.

Bergson berjaya menambah gol kedua buat JDT untuk terus menambah duka buat Melaka United pada minit ke-32 setelah menerima umpanan cantik daripada Forestieri untuk penyerang tersebut melepaskan rembatan deras dalam petak penalti.

Jika tidak disebabkan ketangkasan Bryan See, Melaka United mungkin bolos dengan lebih banyak gol, apabila penjaga gol tersebut setakat ini berjaya memberi aksi positif biarpun sudah bolos dua gol.

Sebelum separuh masa pertama ditamatkan, Bergson sempat menambah satu lagi gol untuk meletakkan JDT terus selesa pada minit ke-42 setelah menerima satu hantaran cantik Corbin Ong di sebelah kiri.

Syahrul Azwari hampir menjaringkan gol pertama buat Melaka United setelah beliau mempunyai peluang cantik dalam kotak penalti tuan rumah pada minit ke-44.

Namun, rembatan yang dilepaskan oleh pemain serangan Melaka United itu berjaya ditepis keluar oleh Haziq Nadzli untuk memberi sepakan sudut buat pelawat.

Wan Zaharulnizam mempunyai peluang menarik untuk mendapatkan gol pertama buat Melaka United menerusi situasi serangan balas.

Namun rembatan pemain tersebut sedikit tersasar daripada gawang gol tuan rumah pada minit ke-57 meskipun peluang dilihat agak terbuka buat diri beliau meledak jaringan.

Berbaki 15 minit perlawanan, Melaka United terpaksa beraksi dengan 10 orang sahaja setelah had pertukaran pemain telah habis digunakan pasukan tersebut untuk membuat penggantian baharu.

Menuju ke penghujung perlawanan, Melaka United terus dihimpit dengan isu kecederaan pemain, apabila giliran Syahrul Azwari pula diusung keluar setelah dikasari oleh Shane Lowry.

Bergson menamatkan malam gemilang mereka menerusi ledakan hatrik beliau pada minit ke-85 untuk menamatkan terus cabaran Melaka United dengan keputusan semasa 4-0.

Keputusan perlawanan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dengan JDT meraih kemenangan 4-0 untuk mengatasi Melaka United di laman sendiri.

Kesebelasan utama

Johor Darul Ta’zim (JDT): Haziq Nadzli (Penjaga gol), Matthew Davies, Bergson da Silva, Leandro Velazquez, Shane Lowry, Danial Amier, Corbin-Ong, Carli de Murga, Natxo Insa (Kapten), Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri

Melaka United: Bryan See (Penjaga gol), Ahmad Haziq, Wan Zaharulnizam, Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Anwar, Fadhil Idris, Wan Amirul, Syukri Baharun, Faris Shah, Adriano, Hasbullah (Kapten)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN