Liga Super: Gol Sulung Casagrande Bantu Penang FC Bangkit Tundukkan Perak FC

Casagrande Penang FC Perak FC 2021

Ketinggalan awal di babak pertama, Penang FC bangkit untuk menundukkan Perak FC 2-1 dalam perlawanan ke-6 Liga Super 2021, di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Gol oleh penyerang Penang, Casagrande dan bek tengah, Rafael Vitor telah berjaya memberikan kemenangan berharga buat mereka di laman sendiri dan meneruskan rentak belum tewas dalam empat perlawanan berturut-turut sejak Mac lalu.

Penang membuat dua perubahan daripada skuad yang menewaskan Selangor dengan kemasukkan semula kapten, Azmi Muslim yang tampil kali pertama kembali dalam kesebelasan utama dan juga Ryuji Utomo yang kembali daripada kecederaan.

Untuk Perak, tiga perubahan telah dilakukan oleh pengendali, Chong Yee Fatt dengan kemasukkan semula Leandro dos Santos yang digantung perlawanan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Farhan Roslan dan juga Rafiuddin Roddin.

Penang bermula agak goyah apabila kerap diancam oleh jentera serangan Perak yang digerakkan oleh Careca. Selaku fokal serangan pelawat, Careca dilihat kerap berada sama ada di kiri atau kanan jentera serangan ketika asakan dilakukan.

Jika dalam aksi sebelum ini Harimau Kumbang dilihat bermain lebih teratur, permulaan babak pertama berdepan The Bos Gaurus sangat kurang meyakinkan. Begitupun, tuan rumah berhasil membuat satu percubaan terkena palang menerusi Casagrande.

Lamunan Penang tersentak di minit ke-12 apabila Careca berjaya menanduk masuk gol pertama pelawat. Ia bermula di sudut kiri gawang tuan rumah yang menyaksikan lambungan ke belakang oleh Sergio Aguero melewati jangkauan Sam Somerville.

Benteng Perak dilihat langsung tidak digugat sepanjang perlawanan babak pertama apabila setiap asakan yang cuba digerakkan oleh jentera tengah Penang berjaya dikekang sebelum berjaya memasuki kawasan defensif third mereka.

Ini menyaksikan Penang hanya mampu melakukan percubaan jarak jauh ke gawang yang dikawal oleh Hafizul Hakim. Sheriddin Boboev antara yang membuat percubaan jauh yang hampir mengelirukan penjaga gol Perak itu di minit ke-15.

Penang meningkatkan intensiti permainan mereka selepas ketinggalan dan ianya bertambah rancak menuju ke penghujung babak pertama. Akhirnya tuan rumah berjaya mencetak jaringan penyamaan di minit ke-43 menerusi Casagrande.

Ia bermula dengan rembatan luar kotak oleh Danial Ashraf yang terbias pemain pertahanan Perak dan seterusnya disambar Casagrande dengan rembatan rendah untuk menewaskan Hafizul Hakim untuk gol pertamanya dan Penang malam ini.

Kedua-dua pasukan bermula sedikit perlahan di babak kedua dengan kebanyakkan pertempuran kedua-dua pasukan berlaku di kawasan middle third. Kawasan tengah yang kompak menyaksikan Perak dan Penang buntu dalam cubaan mengatur asakan.

 

Danial Ashraf yang diharapkan untuk menjadi hub kreatif tuan rumah dilihat gagal menyerlah sebagaimana ketika berdepan Selangor. Sementara untuk pelawat, mereka lebih mengharapkan gerakan larian pantas yang dijana oleh Careca.

Akhirnya menerusi sepakan penjuru, Penang berjaya meledak jaringan pendahuluan menerusi tandukkan susulan bek tengah, Rafael Vitor. Ia selepas tandukan pertama yang dilakukan oleh Casagrande di minit ke-71 terbias pemain lawan.

Pasukan pelawat cuba bangkit dan seperti biasa larian Careca akan digunakan untuk membelah pertahanan, namun kejayaannya meloloskan diri daripada pertahanan gagal disudahkan apabila Sam Somerville pantas keluar untuk nafikannya.

Menuju ke penamat, Shakir Hamzah memperolehi peluang untuk menyamakan kedudukan, namun tandukkan bek tengah itu selepas menerimanya daripada sepakan percuma telah berjaya ditangkap kemas oleh Sam Somerville sekali lagi.

Kemenangan ini membolehkan Penang berada di kedudukan ke-4 dengan mengumpul 11 mata, berkongsi mata bersama Terengganu FC yang berkelebihan jaringan gol.

KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN