Penang FC telah memintas Kedah di kedudukan ke-3 Liga Super 2021 apabila berjaya menundukkan pasukan bermasalah, Perak FC dengan keputusan 5-3, sebentar tadi.
Perak yang turun di laman sendiri tanpa pengendali, Chong Yee Fatt yang direhatkan sebelum perlawanan malam ini dilihat sangat bersemangat walaupun tumbang kepada Penang FC. Mereka masih meledak tiga gol menerusi hatrik Nana Poku.
Seawal 9 saat menurut Malaysian Football League (MFL), Penang FC sudah di depan hasil ledakan pertahanan tengah, Rafael Vitor. Bermula dengan satu hantaran jarak jauh dari benteng pelawat yang berjaya untuk terus memasuki kotak penalti Perak.
1' Gol | Hanya 9 saat diperlukan oleh Rafael Vitor untuk menjaringkan gol pembukaan di Ipoh! @peraktbgmy 0-1 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/mMJO6vUnXH
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 3, 2021
Ia menemui kapten, Endrick dos Santos, namun percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Perak, Hafizul Hakim. Tepisan kurang kemas itu tiba di kaki Rafael Vitor yang berada betul-betul di depan gawang untuk meledak gol pembukaan.
Ia mungkin jaringan terpantas dalam saingan Liga Super musim ini dan juga mungkin dalam sejarah 18 edisi Liga Super – setakat dalam rekod Semuanya BOLA miliki.
Manuel Hidalgo Jadi Antara Penjaring Terpantas Liga Malaysia Sepanjang Zaman
Gol tersebut melonjak semangat Penang untuk terus mengasak tuan rumah. Tujuh minit kemudian, Rafael Vitor sekali lagi mempamerkan sentuhan tajamnya untuk meledak gol kedua Harimau Kumbang, sekali lagi menerusi sentuhan kedua.
Sepakan percuma dari sebelah kanan gawang yang diambil oleh Endrick dos Santos pada mulanya ditanduk oleh Casagrande. Tandukan itu berjaya ditepis oleh Hafizul Hakim dan sekali lagi bola tersebut tiba di kaki pertahanan tinggi lampai itu.
16' Gol | Nana Poku merapatkan jurang gol di Ipoh!@peraktbgmy 1-2 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/sEMtqtmcF4
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 3, 2021
Ia malam yang pastinya ingin dilupakan Hafizul Hakim apabila dua gol awal pasukan lawan adalah disebabkan tepisan kurang kemasnya yang disambar pemain sama.
Di saat Penang FC sedang selesa mendahului aksi, tiba-tiba Nana Poku akhirnya membuka akaunnya bersama The Bos Gaurus pada minit ke-16. Hantaran jauh Sergio Aguero berjaya menemui Nana Poku yang melepasi kawalan Rafael Vitor.
Ia seolah-olah telah membangkitkan semula semangat yang direntap pada awalnya. Namun, Penang masih garang memburu jaringan apabila penyerang sensasi mereka, Casagrande akhirnya berhasil meledak jaringan kelapan peribadinya musim ini.
Tujuh minit kemudian, Rafael Vitor melengkapkan hatriknya pada minit ke-28 apabila merembat deras bola yang tiba di kakinya selepas sepakan penjuru yang diambil Endrick dos Santos. Kekalutan di depan gawang dimanfaatkan oleh pelawat.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS17#LigaSuper2021 pic.twitter.com/X7EBV5e7RQ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 3, 2021
Ketika Penang FC sedang selesa mendahului aksi 4-1, Perak telah berjaya merapatkan jurang gol menerusi dua gol oleh Nana Poku. Kedua-dua gol tersebut adalah menerusi sepakan penalti yang diperolehi tuan rumah pada minit ke-36 dan ke-58.
Perlawanan seakan-akan akan berkesudahan dengan keputusan 4-3, namun Perak tidak henti-henti memburu jaringan penyamaan namun sukar untuk mendapatkannya.
Dan pemain gantian Harimau Kumbang, Azim Rahim akhirnya telah meledak jaringan pertamanya bersama pasukan dan jaringan kelima pada malam ini apabila menanduk masuk hantaran lintang yang dibuat oleh bek kanan, Quentin Cheng di minit ke-87.
Kemenangan ini telah berjaya melonjak Penang FC, memintas Kedah di kedudukan ke-3 liga dengan 28 mata, dua mata di depan Kedah yang kekurangan tiga perlawanan.