Liga Super: Gol Kumahraan Cipta Kejutan Pertama Buat Melaka United Catat Kekalahan Musim Ini

Petaling Jaya City berjaya memanfaatkan aksi di Stadium MBPJ apabila pasukan kendalian P. Maniam itu berjaya mencipta kejutan setelah membenam cabaran pasukan pelawat dengan keputusan 1-0 menerusi gol tunggal oleh S. Kumahraan dalam aksi pertama mereka dalam saingan Liga Super.

Dalam aksi tersebut turut disaksikan sendiri oleh Kim Pan Gon yang merupakan pengendali baharu Harimau Malaya bersama staf kejurulatihan untuk menilai para pemain baharu yang bakal dipanggil menyertai kem kebangsaan.

Lima minit permainan bermula menyaksikan tuan rumah garang dengan mengasak ke kubu lawan menerusi beberapa gerakan yang dicipta oleh barisan hadapan PJ City.

Pada minit ke-6, Emmanuel Oti hampir meledak gol pertama buat Melaka United apabila hantaran yang diberi oleh Sony Norde di sebelah kiri berjaya menemui pemain tersebut sebelum rembatan dilepaskan sedikit tersasar.

10 minit permainan berlangsung setakat ini nyata tuan rumah lebih dominan menguasai permainan dengan kemas mengawal bahagian tengah lawan yang dibarisi pemain import.

Adriano berjaya membuat satu hantaran ke depan bagi mencari Ifedayo mencipta sesuatu di hadapan gol, namun Kalamullah lebih pantas keluar untuk menyelamatkan keadaan pada minit ke-13.

Melaka United mempunyai masalah untuk mengekalkan kawalan bola selain gaya permainan yang ditampilkan mereka mudah dibaca lawan untuk terus menutup segala ruang.

Berbanding PJ City, skuad ini lebih bersedia dan cepat merampas kembali bola sekiranya hilang dalam kawalan. Pasukan ini juga bijak menyusun beberapa gerakan dan hanya penyudah sahaja masih tumpul buat mereka mencipta gol.

Kedua pasukan masing-masing mempunyai masalah dalam mencipta peluang gol dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang serta intensiti yang dipamerkan agak perlahan walaupun sudah melepasi 40 minit perlawanan.

PJ City berjaya menggamatkan Stadium MBPJ apabila gol pertama diledak pada minit ke-42  menerusi S. Kumahraan yang membuat sepakan voli menerusi serangan balas pantas untuk meletakkan tuan rumah di hadapan sebelum separuh masa pertama ditamatkan.

Kumahraan gagal untuk menambah koleksi gol kedua apabila situasi kelam kabut depan gawang gol Melaka United gagal disudahkan dengan baik oleh pemain ini pada penghujung separuh masa.

Bersambung di separuh masa kedua,kedua pasukan saling rancak berbalas serangan dengan intensiti permainan lebih ditingkatkan berbanding aksi separuh masa pertama.

Selepas 55 minit berlangsung nyata PJ City sekali lagi mendominasi serangan dengan beberapa siri gerakan dicipta untuk menguji pertahanan Melaka United.

Pemain gantian, Khyril Muhymeen gagal untuk menyudahkan peluang terhidang setelah menerima hantaran yang cantik daripada Kumahraan. Namun gol kedua yang dicari gagal ditemui setelah rembatan pemain senior itu sedikit melambung tinggi pada minit ke-75.

Selang dua minit kemudian, Khyril sekali lagi cuba membuktikan ketajamannya apabila kali ini melepaskan percubaan jarak jauh setelah bergerak solo dari bahagian sisi, tetapi Norazlan lebih bersedia untuk menyelamatkan rembatan leret tersebut.

Melaka United terus tertekan untuk mencari gol penyamaan mereka apabila banyak gerakan yang cuba dicipta berjaya dihalang dengan baik oleh pasukan tuan rumah.

Darren Lok hampir terus mengecewakan kem pelawat apabila berjaya melepaskan satu percubaan menerusi situasi serangan balas sebelum ditepis keluar oleh Norazlan Razali pada minit ke-89.

Permainan kekal tamat dengan kemenangan pertama dilakar oleh anak buah P. Maniam di laman sendiri untuk menyingkirkan pasukan pilihan, Melaka United dengan keputusan kekal 1-0 di Stadium MBPJ.

Kesebelasan Utama Petaling Jaya City

Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Penjaga Gol)

Aroon Kumar Ramaloo

Mohammad Raffi Nagoorgani

Mohamad Nasir Basharudin

Mahalli Jasuli

Kumaahran Sathasivam

Rajes Perumal

Ruventhiran Ruventhiran

Prabakaran Kanadasan

Darren Yee Deng Lok

Gurusamy Govandar Kandasamy (Kapten)

Kesebelasan Utama Melaka United

Norazlan Bin Razali (Penjaga Gol)

Muhammad Fauzan Mohd Fauzi

Mikel Justin Cagurangan Baas

Sony Norde

Emmanuel Oti Essigba

Ifedayo Olusegun Omosuyi

Muhammad Fadhil Idris

Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman

Adriano Aprecido Narcizo

Mohamad Hasbullah Abu Bakar (Kapten)

Mohamad Fadhli Mohd Shas

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN