Selangor gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat selepas tumbang 2-1 kepada Terengganu dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Ketinggalan satu gol dari sepakan penalti Ifedayo Olusegun tidak mematahkan semangat skuad Penyu untuk kembali bangkit dengan dua gol hasil jaringan Engku Nur Shakir dan Carli de Murga.
Jika tidak kerana kecekapan Khairul Azhan, Terengganu mungkin sudah mendahului pada awal permainan hasil percubaan David da Siva dan Carli de Murga, namun kedua-duanya diselamatkan penjaga gol kebangsaan tersebut.
Selangor menyangka mereka sudah mendahului pada minit ke-26 hasil jaringan Htet Aung yang menyudahkan hantaran lintang R. Dinesh, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana pemain tersebut berada pada kedudukan ofsaid.
Minit ke-35, Selangor dianugerahkan sepakan penalti selepas kaptennya Brendan Gan ditolak oleh Nasir Basharudin ketika cuba membuat lompatan sewaktu sepakan penjuru.
Namun penjaga gol Terengganu Suhaimin Husin lebih cemerlang untuk menafikan sepakan penjaring gol terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun dengan melayangkan badannya ke sebelah kanan.
Hasrat Selangor untuk mendapatkan gol pertama pada penghujung babak pertama menerusi serangan balas juga terbantut apabila percubaan Ifedayo ke arah gol dihadang oleh rakan sepasukannya Oliver Buff dalam kotak penalti.
Tiga minit selepas bermula separuh masa kedua, Nasir Basharudin sekali lagi menjadi punca apabila tertampan rembatan Brendan Gan dalam kontak penalti untuk memberikan sepakan penalti kedua Selangor.
Kali ini Ifedayo tidak lagi mengulangi kesilapan pertamanya dengan menyudahkan peluang terhidang dengan menewaskan Suhaimi Husin bagi meletakkan Selangor mendahului 1-0.
Semangat melawan Terengganu berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-73menerusi jaringan pemain yang baru dibawa masuk Engku Nur Shakir yang membuat rembatan susulan selepas percubaan jarak jauh Arif Fadzillah ditepis oleh Khairul Azhan.
Ketika Selangor merencanakan serangan demi serangan untuk mendapatkan gol kedua, Terengganu ternyata lebih bijak menggunakan peluang dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir De Murga yang menanduk hantaran Arif Fadzillah dari sepakan percuma.
Kemenangan tersebut membolehkan Terengganu kembali merampas kedudukan tempat kedua liga dari Kedah, sementara Selangor pula kekal di tangga kelima.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Saman Ditarik Balik, Tak Sangka Gurauan Kerana Dah Lama Kenal Hafizul Jadi Lain
Manzoor Azwira Beri Sebab Penang Senaraikan Azmi Muslim dan Khairul Akmal
Ini Komen Benjamin Mora Tentang Kemenangan, Safiq Rahim & 2 ‘Aset’ Baharu