Terengganu FC terus memberi tekanan untuk slot ke saingan Piala AFC tahun hadapan apabila berjaya menewaskan finalis edisi kali ini, KL City FC.
KL City tumbang 1-2 di tangan Terengganu dengan jaringan Manuel Ott dan Kipre Tchetche memberikan kelebihan buat pelawat di Stadium KLFA.
Dalam misi memburu tiga mata penting, Terengganu tidak berlengah dalam membina asakan ke kubu tuan rumah apabila sejak wisel permulaan telah memulakan tekanan. Begitupun, benteng KL City dilihat tenang bertahan.
Minit ke-7, Kevin Mendoza menafikan peluang di depan gawang apabila terlebih dahulu menangkap bola yang dihantar untuk ditanduk oleh Nik Sharif sebelum dua minit kemudian, beliau sekali lagi menangkap bola yang cuba disuap kepada Kipre Tchetche yang berada dalam kotak penalti lawan.
Tanpa tonggak utama di benteng, Giancarlo Gallifuoco, pengendali, Bojan Hodak mempertaruhkan Muhammad Faudzi untuk berganding bersama Irfan Zakaria yang nampaknya tidak sedikit pun terganggu. Mereka juga tanpa bek kiri, Declan Lambert yang melalui penggantungan perlawanan.
KL City seperti biasa, tidak berminat untuk memberi tekanan tinggi buat lawan dan hanya menanti peluang untuk membuat serangan balas pantas.
Dua peluang terbaik pasukan pelawat tercipta pada minit ke-14 menerusi rembatan deras Habib Haroon tetapi Mendoza cemerlang menepisnya dan percubaan deras Kipre di minit ke-29 pula jauh melewati palang lawan.
Empat minit selepas itu, Zhafri Yahya hampir memberikan gol pendahuluan buat ‘The City Boys’, namun tandukkannya berpunca daripada sepakan percuma Paulo Josue terkena tiang gol yang dikawal Suhaimi Husin.
Sang Penyu dilihat bernafsu memburu jaringan untuk memberi tekanan ke atas Sabah FC dan Negeri Sembilan FC yang berada di atas mereka.
39' GOL | Rembatan Manuel Ott menewaskan Kevin Ray Mendoza untuk gol pembukaan di Cheras!@KLCityFootball 0-1 @FCTerengganu #LigaSuper2022 pic.twitter.com/GEkKc5BdVA
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 11, 2022
Terengganu akhirnya berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-39 selepas pemain tengah, Manuel Ott mudah menewaskan Mendoza hasil sepakan penjuru yang diambil Petrus Shitembi di sebelah kiri gawang tuan rumah. Ia merupakan jaringan kelima peribadinya pada musim ini.
Nik Sharif gagal menambah kelebihan buat pelawat di penghujung babak pertama apabila terlepas peluang di depan gawang tuan rumah namun ia berjaya ditebus semula Kipre sebelum wisel penamat babak pertama ditiup apabila hantaran Nik Sharif ditanduknya untuk menumpaskan Mendoza.
45+2' GOL | Tchetche Kipre menggandakan kelebihan Terengganu!@KLCityFootball 0-2 @FCTerengganu #LigaSuper2022 pic.twitter.com/gYldzIPNiO
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 11, 2022
64' GOL | Tandukan Romel Morales berjaya menewaskan Suhaimi Husin untuk gol pertama KL City.@KLCityFootball 1-2 @FCTerengganu #LigaSuper2022 pic.twitter.com/cPRUasE4zO
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 11, 2022
Di awal babak kedua, pelawat terus memberi tekanan buat tuan rumah dengan dua peluang menerusi Kipre, namun kedua-dua percubaannya di minit ke-57 dan ke-60 cemerlang dinafikan Mendoza di gawang.
KL City berjaya merapatkan jurang apabila Romel Morales menanduk kemas hantaran lintang oleh Akram Mahinan pada minit ke-64. Mereka mula meningkatkan intensiti dengan membuat tekanan tinggi ke atas pertahanan Terengganu dan nampaknya ia mula memberikan hasil.
Mereka hampir mendapatkan gol penyamaan di minit ke-76 menerusi rembatan Arif Shaqirin, namun sedikit tersasar dari gawang pelawat.
Di hujung perlawanan, pemain gantian, Engku Shakir hampir meledak jaringan ketiga buat Terengganu, namun tersasar dari gawang lawan.
Perlawanan berkesudahan dengan kedudukan kekal 2-1 memihak kepada Terengganu yang meneruskan rentak kemenangan mereka kepada lapan perlawanan berturut-turut selain ‘tiket’ ke Piala AFC semakin hampir menjadi realiti apabila kekal di kedudukan ke-3 Liga Super setakat ini.