Liga Super: Amukan Ifedayo Bantu Kedah Raih 3 Mata Penuh Atasi Kelantan United

Kelibat penyerang Kedah Darul Aman (Kedah), Ifedayo Olusegun tampil selaku wira buat peminat Sang Kenari, selepas dua jaringan beliau memastikan mereka memperoleh tiga mata untuk mengatasi Kelantan United.

Kedah tampil mencatat kemenangan berharga di laman sendiri iaitu Stadium Darul Aman (SDA) menerusi keputusan penuh 3-1 hasil dua jaringan Ifedayo serta satu gol menerusi Amirbek Juraboev, selepas terpaksa bergelut sebelum itu dengan kekebalan benteng pertahanan ditampilkan oleh pelawat.

Manakala Kelantan United pula memperoleh satu gol menerusi penyerang import mereka Ismaheel Akinade sebagai sagu hati untuk dibawa pulang ke Kota Bharu.

Pada perlawanan tersebut, Kedah tampil dengan begitu agresif untuk memburu jaringan dengan menyaksikan Kelantan United lebih banyak bertahan untuk menyerap segala asakan dibuat tuan rumah.

Baru beberapa saat permainan mul berlangsung, Lee Tuck menjadi pemain pertama mengalami kecederaan setelah situasi perebutan bola bersama lawan menyaksikan beliau dikasari dan memerlukan rawatan susulan.

Lima minit awal permainan menyaksikan Lee Tuck terlebih dahulu berjaya mencipta satu percubaan tepat ke arah gawang gol setelah menerima hantaran silang daripada Amirul Hisyam, sebelum ditangkap kemas penjaga gol lawan.

Kelantan United ketika ini terpaksa bertahan selepas menerima asakan bertali arus daripada tuan rumah di segenap penjuru dalam misi untuk mendapatkan jaringan awal.

Intensiti permainan jelas sangat tinggi dipamerkan oleh Kedah menerusi gandingan trio serangan mereka membabitkan Ifedayo, Lee Tuck, serta Hidalgo untuk memburu gol pertama di laman sendiri.

Selepas 10 minit aksi berlangsung, Dominik Balic menjadi pemain pertama Kelantan United yang dilayangkan kad kuning selepas ada kekasaran dibuat kepada Moses Atede.

Walaupun kerap menguasai permainan, Kedah jelas masih memiliki masalah utama mereka daripada segi penyudah dengan banyak mempersia-siakan peluang terhidang.

Kelantan United hampir mendapat gol sulung mereka, selepas secara tiba-tiba OJ Porteria mendapat ruang terbaik untuk melepaskan rembatan pada minit ke-26 sebelum bola sedikit tersasar tinggi.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, skuad kendalian Ailton Silva cuba menukar pendekatan dalam corak permainan mereka untuk lebih tenang menguasai bola dan mengelak dirampas oleh tuan rumah.

Shahril Sa’ari hampir terperangkap dengan percubaan penyerang Kedah iaitu Manuel Hidalgo, sebelum sepakan pemain kelahiran Argentina itu sedikit tersasar keluar walau mendapat ruang cukup baik.

Pelawat juga berjaya mendapat satu peluang menerusi situasi serangan balas pantas, sebelum percubaan Ismaheel Akimade pada minit ke-50 diselamatkan oleh pertahanan Kedah.

Sang Kenari berjaya memperoleh gol sulung mereka menerusi Ifedayo yang berjaya menyambar kemas hantaran daripada Wan Amirul Afiq pada minit ke-53 untuk meletakkan Kedah 1-0 di hadapan Kelantan United.

Kedah terus bernafsu untuk memburu jaringan, dengan beberapa lagi siri serangan berbahaya dicetuskan oleh Manuel Ott dan Ifedayo untuk menjarakkan kedudukan semasa.

Ifedayo terus membuktikan ketajamannya pada minit ke-74 untuk mendapatkan gol kedua buat Sang Kenari serta hampir mengesahkan tiga mata milik Kedah selepas mendapat satu lorongan cantik daripada Fayadh Zulkifli.

Memasuki 10 minit terakhir permainan, OJ Porteria sekali lagi mensia-siakan peluang untuk sekurangnya mendapatkan satu jaringan buat Kelantan United, selepas percubaan beliau sekadar menggegarkan palang gol Kedah.

Kemasukan pemain gantian, Amirbek Juraboev berjaya menambah gol ketiga buat Kedah pada minit ke-85 menerusi kelincahan beliau untuk menewaskan Shahril Sa’ari.

Akhirnya pelawat berjaya meraih gol semangat pada minit akhir perlawanan menerusi Ismaheel Akinade, selepas kelincahan beliau berjaya mengelirukan barisan pertahanan Sang Kenari.

Keputusan perlawanan kekal tamat dengan Kedah berjaya memastikan tiga mata menjadi milik mereka di laman sendiri untuk terus memberi persaingan sengit musim ini di kedudukan empat teratas.

Kesebelasan utama

Kedah Darul Aman (Kedah): Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Penjaga gol), Rodney Celvin Akwensivie, Bojan Ciger, Manuel Gelito Ott (Kapten), Lee Andrew Tuck, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman, Moses Atede Jona Atuluku, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik, Manuel Federico Hidalgo Gasparini

Kelantan United: Mohd Shahril Sa’ari (Penjaga gol), Muhammad Fauzan Mohd Fauzi, Sirojiddin Rakhmatullaev, Muhammad Khairu Azrin Khazali, Jose Elmer Porteria, Abdul Latiff Suhaimi, Dominik Balic, Mohd Syazwan Zainon, Indra Putra Mahayuddin (Kapten), Ismaheel Akinade, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN